KKM Pantau Kemungkinan Gelombang Baharu Selepas Kes COVID-19 Di Singapura Meningkat

TERKINI
May 20, 2024 - 10:22 AM


Peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 di Singapura yang diumumkan oleh Menteri Kesihatannya telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Menerusi satu hantaran di X, seorang pengguna telah meninggalkan satu pertanyaan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang bertanya sama ada Malaysia bersedia untuk berdepan gelombang baharu Covid-19, sebagaimana yang sedang melanda Singapura. 

Ini kerana, peningkatan kes di Singapura bagi tempoh 5 hingga 11 Mei lalu dengan jumlah kes baharu melonjak kepada 25,900. Jumlah itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya

Pertanyaan tersebut dibalas oleh Dzulkefly yang menyatakan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti trajektori gelombang baharu Covid-19 berikutan peningkatan dua kali ganda wabak berkenaan yang direkodkan di Singapura sejak dua minggu lalu.

Munurut Dzulkefly lagi, peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di negara jiran itu membabitkan dua sub varian baharu Omicron.

"KKM sedang memantau trajektori gelombang baharu peningkatan dua kali ganda kes Covid-19 yang dilaporkan di Singapura. 

"Setakat ini, dilaporkan ia membabitkan kes gabungan sub varian KP.1 dan KP.2 yang menyumbang lebih dua pertiga daripada kes Covid-19 di Singapura," katanya menerusi satu hantaran di X. 

Selain itu, Dzulkefly juga berkata orang ramai digalakkan menjaga kebersihan diri sendiri, mengurangkan interaksi apabila berasa kurang sihat dan memakai topeng jika dalam kumpulan berisiko tinggi, di kawasan yang sangat sesak, atau apabila bergejala.

Sementara itu, di Malaysia, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan pada 12 hingga 18 Mei lalu adalah 1,230 berbanding 1,071 kes pada minggu sebelumnya dengan peningkatan 14.8 peratus. 

 

Sumber: X

Destination: