Kongsi Doa Agar Alat Kelamin Kuat & Kukuh, Ustazah Norhafizah Perjelas Tiada Unsur Lucah

TERKINI
January 19, 2024 - 04:12 PM


Baru baru ini, hangat dibualkan oleh netizen di mana sebuah klip video yang memaparkan seorang ustazah dipercayai berkongsi satu doa untuk menguatkan alat kelamin suami.

Difahamkan, video tersebut dirakam di satu acara khas buat wanita dan para isteri. Turut hadir ke acara tersebut dan berada atas pentas, selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa.

Video mendapat reaksi yang pelbagai dari orang ramai. Ada yang mengkritik Ustazah Norhafizah Musa dan ada juga yang berpendapat ianya tidak melanggar sebarang hukum syarak.

Tidak menunggu lama, Ustazah Norhafizah tampil memperjelas mengenai video terbabit, dan meminta netizen untuk fahami konteks lebih mendalam supaya tidak disalah erti.

“Saya bercakap dari sudut hukum hakam dan bagaimana Islam melihat tentang keperluan melayan suami.

“Jadi doa yang saya kongsikan itu memang doa yang diperlukan untuk memohon kepada Allah SWT bagi mengatasi masalah tersebut kepada sesiapa yang menghadapi masalah seperti itu.

“Bukanlah doa itu tidak ada sandarannya, saya kongsi juga sandaran, nama kitab dan nama ulama’ yang menyebut doa tersebut tetapi saya nak jelaskan doa itu bukan disandarkan oleh Rasulullah SAW,” jelasnya.

Dalam pada itu, ustazah meminta mereka yang komen negatif perlu menonton video penuh dan bersangka baik.

“Ustazah bukan buat lawak lucah, bukan cakap benda-benda yang tidak sepatutnya. Saya hanya berkongsi doa itu untuk majlis ilmiah dan yang datang itu pun memang ada yang hadapi masalah tersebut,” katanya.

Sementara itu, ustazah meluahkan rasa syukur kerana ada juga segelintir pihak yang berterima kasih dan mahu mengamalkan doa tersebut.

 

Destination: