KP Pendidikan Umum 11,713 Calon Perolehi Semua A, Manakala Lebih 10,000 Calon Tak Duduki SPM 2023

TERKINI
May 27, 2024 - 01:47 PM


Pada hari ini, kesemua pelajar tingkatan 5 di seluruh Malaysia untuk kelompok tahun lepas bakal menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. 

Dilapor seramai 11,713 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata pencapaian calon SPM 2023 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya. 

Beliau berkata nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

“Seramai 226,358 daripada 373,255 calon baharu SPM 2023 telah lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 57.1 peratus atau 213,624 calon pada tahun 2022.

“Seramai 93.5 peratus atau 349,297 calon layak mendapat sijil SPM 2023 berbanding 342, 742 pada tahun 2022,”  katanya semasa mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2023.  

Walau bagaimanapun, terdapat juga berita yang kurang menyenangkan apabila lebih 10,000 pelajar tingkatan lima tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2023. 

Menurutnya, walaupun jumlah itu nampak tinggi namun ia telah menurun dengan ketara berbanding tahun lalu.

"Pada 2022, seramai 30,000 pelajar tidak menduduki peperiksaan SPM 2022.

"Kita akan teliti punca kenapa calon ini tidak hadir (menduduki SPM 2023), selepas berlaku penurunan agak banyak (bagi calon yang mendaftar SPM 2023 berbanding 2022).  

“Kita akan teliti satu persatu, intervensi akan kita laksanakan untuk tangani perkara ini sebaiknya,” katanya. 

Untuk rekod, seramai 395,870 calon menduduki peperiksaan SPM 2023. 

 

Sumber: Majoriti

Destination: