Lesen Memandu Lebih Mahal Berbanding Gaji Minimum, Netizen Mahu Kerajaan Tetapkan Harga Siling

TERKINI
May 21, 2024 - 11:35 AM


Harga kos untuk mengambil lesen memandu kereta (kelas D) yang semakin meningkat telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Ini kerana, kos yang tinggi itu dianggap membebankan ramai individu daripada mendapatkan lesen memandu, yang mana merupakan satu keperluan asas terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai akses kemudahan awam yang sempurna atau memerlukan lesen memandu bagi melakukan pekerjaan. 

Baru-baru ini di platform X, seorang pengguna telah meluahkan kebimbangannya ekoran harga bayaran lesen memandu yang terlalu tinggi. 

"Siapa yang normalisasi harga lesen memandu sampai RM2,500 lebih?

"Lagi mahal dari gaji minimum! Patut ramai beli lesen atau tak ada lesen langsung," luahnya. 

Melalui ciapan yang sama, dia juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat sesuatu bagi menyelesaikan isu tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan kenyataan tersebut selain mencadangkan agar kerajaan menetapkan harga yang sesuai bagi golongan berpendapatan rendah. 

Ada juga mendesak pihak kerajaan untuk masuk campur ekoran harga lesen yang naik mendadak dalam masa beberapa tahun. 

Untuk makluman, kos pengambilan lesen memandu kelas D kini mencecah antara RM1,500 hingga RM2,000, bergantung kepada lokasi dan sekolah memandu.

Ini merupakan peningkatan ketara berbanding beberapa tahun lepas, di mana kosnya berada dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,200. 

 

Sumber: X & Majoriti

Destination: