Luah Kecewa Terhadap Perilaku Anggota Polis Trafik Di Platform X, PRDM Kesan Pemilik Akaun
TERKINIHanya kerana meluah perasaan kecewanya terhadap perilaku seorang anggota polis di platform X, polis sedang mengesan pemilik akaun aplikasi media sosial X yang dipercayai membuat hantaran bertujuan mengaibkan anggota polis trafik
Polis tahan aku pastu nak kluarkan saman atas kesalahan tak pakai tali pinggang keledar.
— Syedewa (@syedewa) August 6, 2024
Aku ckp aku mmg pakai
Dia ckp kawan dia nmpak aku tak pakai, odw baru pasang
Aku ckp kalau betul tak pakai tunjuk lah bukti
Dia ckp kalau nak fight pegi mahkamah
Ape yg hamak saman sgt pdrm…
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung hantaran yang tular itu pada jam 7.30 pagi semalam.
“Pemilik akaun aplikasi X menggunakan nama ‘Syedewa’ dikesan memuat naik gambar pegawai polis yang sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya (SJR) di Damansara Damai pada jam 10.45 pagi, Selasa lalu.
“Hantaran berkenaan bertujuan mengaibkan imej pegawai polis yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Shahrulnizam berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, polis kini sedang mengesan pemilik akaun terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.