Man On The Run: Najib Hantar Surat Untuk Hentikan Tayangan & Ambil Tindakan Terhadap Pasukan Produksi Dan Pengarah Dokumentari

TERKINI
January 12, 2024 - 04:14 PM


Jika anda penggemar dokumentari yang berkaitan dengan isu politik, pasti anda tahu akan kewujudan sebuah dokumentari yang mengisahkan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Man On The Run.

Dokumentari tersebut kini menjadi sebutan dan perbualan orang ramai kerana menceritakan kepada penonton apa yang berlaku dengan dana 1MDB. 

Terbaru, Datuk Seri Najib Razak menerusi peguam belanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengambil tindakan undang-undang terhadap pasukan produksi dan pengarah dokumentari Man On The Run.

Surat sama turut dihantar secara serahan tangan kepada Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Pengawal Selia, Datuk Zulkarnain Mohd. Yasin. Satu lagi salinan surat terbabit turut dihantar kepada Timbalan Pendaftar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan pihak pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.

Selain memohon agar pasukan produksi dan pengarah, Cassius Michael Kim dikenakan tindakan undang-undang, Najib melalui peguamnya memohon agar dokumentari itu diturunkan daripada platform penstriman itu dan dilarang daripada terus disiarkan di Netflix.

“Pihak kami percaya bahawa YBhg. Tuan, YBhg. Tan Sri, dan YBhg. Datuk prihatin dan mengambil maklum terhadap wujudnya keperluan untuk melindungi hak anak guam kami terhadap satu perbicaraan yang adil tanpa fitnah atau penghinaan mahkamah.

“Pernyataan-pernyataan di luar mahkamah yang bersifat prejudis dan juga menghina mahkamah sudah pasti berkemampuan untuk menjejaskan hak anak guam kami untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil,” kata surat terbabit.

Dokumentari itu turut memaparkan temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat dan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo.

Sementara itu, Cassius dalam satu laporan media menyatakan sewaktu temu bual antara pasukan produksinya dengan Najib berhubung dokumentari terbabit, salah seorang peguam kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Muhammad Farhan Shafee (anak kepada Muhammad Shafee) dan pembantu Najib, Ahmad Lutfi Azhar turut berada sepanjang pertemuan tersebut.

Kata pengarah terbabit, setiap 30 atau 45 minit temu bual terbabit, Najib dan peguamnya, Muhammad Farhan serta Ahmad Lutfi akan memasuki bilik mesyuarat dan berbincang sesama mereka sebelum keluar untuk memberikan klarifikasi atau menambah kenyataan terhadap soalan yang ditanya.

Untuk makluman, dokumentari Man on the Run diarahkan, ditulis serta diterbitkan oleh Cassius Michael Kim dan telah ditayangkan kepada orang ramai bermula 19 Oktober 2023.

Dokumentari tersebut kini menduduki tempat kedua dalam carta ’10 Filem Top Di Malaysia Hari Ini’ di Netflix.

 

Sumber: The Rakyat Post & Utusan Malaysia

Destination: