Maybank Beri Respon Dakwaan 22 Juta Data Pelanggan Bocor Di ‘Dark Web’

TERKINI
July 24, 2024 - 03:19 PM


Susulan wujud dakwaan pangkalan data bank itu diterbitkan di forum web gelap, pihak Maybank telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang memberi jaminan kepada pelanggan bahawa sistemnya masih kekal selamat dan semua maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya. 

Menurut akaun X bank tersebut, pihaknya memandang serius kebimbangan mengenai keselamatan dan akan terus memantau serta memastikan data-datanya dilindungi pada setiap masa. 

“Kami telah melakukan pelbagai langkah untuk menangani penipuan termasuk penggunaan Secure2U untuk mengesahkan transaksi dan tempoh bertenang untuk peningkatan had transaksi, menjamin transaksi dalam talian pelanggan terus dilindungi. 

“Pelanggan juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat mereka. Sila pastikan ID pengguna, kata laluan dan butiran peribadi tidak didedahkan, berhati-hati terhadap perisian hasad, mesej WhatsApp dan laman web phishing serta panggilan telefon yang tidak dikenali,” jelas kenyataan itu. 

Sebelum ini, kecoh di media sosial berhubung laporan yang mendakwa 22 juta data pelanggan Maybank telah dijual menerusi pasaran gelap. 

Antara data sensitif yang dikatakan menjadi dagangan adalah nama, tarikh lahir, nombor telefon, alamat, kata laluan dan maklumat yang melibatkan hampir keseluruhan data peribadi pengguna. 

 

Sumber: X

Destination: