Peguam Umum Tarik Diri Dari Wakili Ibu Bapa Zayn Rayyan

TERKINI
June 04, 2024 - 10:55 AM


Peguam mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memaklumkan bahawa beliau tidak lagi mewakili mereka bermula hari ini.

Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, dirinya tidak lagi mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. 

"Saya berdoa supaya perjalanan kes ini berjalan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada.

"Sebagai pengamal undang-undang, saya ingin menasihati semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes ini demi kebaikan bersama," katanya.

Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu. 

Selain ibu bapa, polis baru-baru ini turut mengambil keterangan percakapan daripada bekas pengasuh kanak-kanak autisme tersebut. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

 

Sumber: Sinar Harian

Destination: