Pemain Bola Bawa Kerambit Dipenjara 14 Hari
TERKINIPemain bola sepak amatur yang tular kerana bawa kerambit masuk padang dipenjara 14 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menunjukkan senjata tajam itu dalam perlawanan bola sepak, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Norina Zainal Abidin.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Mengikut pertuduhan, Nur Iman yang juga seorang peniaga nasi lemak didakwa menunjukkan senjata berbahaya iaitu kerambit di mana perbuatan itu dilakukan dengan sebegitu gopoh hingga membahayakan keselamatan diri orang lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Bola Sepak KLFA, Wangsa Maju pada 12.45 tengah malam, 4 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda yang boleh sampai RM500 atau kedua-duanya.
Dalam prosiding sama di hadapan Norina, Muhammad Nur Iman Shafie mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dalam kejadian di hadapan kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, dia bersama-sama dengan empat lagi yang telah dituduh didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah sebuah kelab sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kelab itu pada 2.17 pagi, 9 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum 14 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.