Pinda Nama, Zayn Rayyan Abdul Matiin Kini Dikenali Zayn Rayyan Bin Zaim Ikhwan

TERKINI
July 26, 2024 - 01:11 PM


Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Jumaat dimaklumkan nama kanak-kanak austisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh pada Disember lalu telah ditukar kepada Zayn Rayyan Zaim Ikhwan.

Dalam prosiding sebutan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh, peguam bela, Fahmi Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf turut menyerahkan dokumen sijil kelahiran yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon nama kanak-kanak itu dipindakan dalam kertas pertuduhan. 

"Merujuk kepada pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya pada tarikh lalu (13 Jun), nama kanak-kanak seperti yang dicatatkan adalah Zayn Rayyan Abdul Matiin, namun pihak kami sudah menerima dokumen cabutan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor melalui Ismanira yang membetulkan maklumat dalam daftar kelahiran Zayn Rayyan. 

"Pada 4 Julai lalu, pembetulan maklumat nama Zayn Rayyan sudah dibuat dan ditukar kepada Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan," jelasnya. 

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar yang mengesahkan menerima dokumen itu.

"Memandangkan saya baru saja terima (salinan sijil kelahiran) pagi tadi jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh akan datang untuk pindaan nama itu," katanya.  

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Dr Syahliza kemudian mengarahkan pendakwaan mengesahkan terlebih dahulu dengan JPN dan perkara itu akan diteliti dalam sebutan kes akan datang.

Sementara itu, dalam sebutan kes hari ini, mahkamah diberitahu peguam Mahmud Abdul Jumaat tidak lagi mewakili Ismanira sebaliknya diganti Fahmi.

Fahmi memaklumkan Ismanira menghantar surat penamatan perkhidmatan guaman yang mewakilinya.

Dalam prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh hadir dan kelihatan tenang bersama ahli keluarga masing-masing. Turut hadir, peguam pemerhati dari Majlis Peguam Malaysia iaitu Vivek Sukumaran dan Jason Wee. 

Pada masa sama, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 18 September depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes terhadap ibu bapa Zayn Rayyan. 

 

Sumber: Berita Harian

Destination: