PLKN 3.0 Bakal Mula Jun Tahun Depan Dengan Format & Konsep Baru

TERKINI
July 10, 2024 - 03:01 PM


Kerajaan telah bersetuju melaksanakan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 seawal Jun tahun depan dengan pelaksanaan awal akan membabitkan fasa pra PLKN di peringkat sekolah terlebih dahulu. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 ini akan menggunakan konsep dan format baharu.

Jelas beliau, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah menyediakan dan merangka modul latihan secara berfasa. 

“PLKN akan diperkenalkan di peringkat sekolah (Fasa Pra PLKN) sebagai persiapan mereka menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun.

“Program ini akan melibatkan pelajar-pelajar di Tingkatan 4 sahaja semasa kegiatan ko-kurikulum,” katanya. 

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung status terkini pelaksanaan semula PLKN.

Mohamed Khaled berkata, fasa Pra PLKN di peringkat sekolah yang melibatkan pelajar tingkatan 4, akan dilaksanakan bersama dengan ketetapan pelaksanaan modul GenMadani oleh KPM dan dijangka bermula pada Jun/Jul 2025. 

Manakala, bagi fasa PLKN asas membabitkan peserta berumur 17 tahun dan ke atas, dijangka bermula pada April 2026. 

Bagi fasa asas di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) pula, ia akan bermula pada pengambilan pelajar sesi akademik 2026/2027.

"Bagi fasa PLKN asas yang membabitkan peserta 17 tahun dan ke atas di kem askar wataniah selama 45 hari, ia dijangka dimulakan pada April 2026.

"Bagaimanapun projek rintis akan bermula pada Jun dan Julai 2025 membabitkan dua kem wataniah dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta," katanya.  

Kata beliau, remaja yang berusia 17 tahun dan ke atas akan dipilih untuk menjalani latihan asas (Fasa Latihan Asas) di 13 buah kem Askar Wataniah di seluruh negara, 20 buah universiti awam, dan beberapa politeknik.

Fasa latihan asas tersebut merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus.

“Modul Asas Kenegaraan dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, mengandungi Modul Kenegaraan Elemen Jati Diri, Modul Kenegaraan Elemen Cinta Negara, dan Modul Kenegaraan Elemen Perpaduan.

“Modul Asas Ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan.

“Pelatih akan dilatih untuk mempraktikkan budaya kehidupan tentera seperti disiplin, ketepatan masa, tersusun (organised), dan mandiri (independent),” tambahnya.

Selain itu katanya, pelatih PLKN juga diberi peluang untuk menjalani latihan lanjutan (Fasa Latihan Lanjutan) mengikut bidang yang mereka minati.

“Modul bagi setiap latihan khusus dibangunkan untuk anggota angkatan tetap, angkatan simpanan dan sukarelawan. Latihan tersebut berbentuk intensif, lapangan dan praktikal,” jelasnya. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: