PM Mahu MCMC & PDRM Ambil Tindakan Lebih Tegas Insiden Buli Siber

TERKINI
July 18, 2024 - 11:15 AM


Jumlah denda yang dikenakan kepada pelaku buli siber pempengaruh media sosial yang dikenali dengan nama Esha bukan sahaja telah menarik perhatian orang ramai tetapi juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan cara agensi-agensi terlibat dalam menangani isu buli siber. 

Susulan itu, satu arahan telah dikeluarkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar lebih tegas dalam mengambil tindakan terhadap jenayah buli siber. 

Selain itu, Fahmi juga memaklumkan pihaknya sedang membuat kajian sebelum mengesyorkan rang undang undang baharu berkaitan dengan buli siber. Namun begitu pihak berkuasa masih boleh bertindak mengikut undang undang yang sedia ada, buat masa ini.

Ketika ditanya berhubung mewujudkan akta spesifik berkaitan gejala buli siber, Fahmi berkata, pihaknya akan meneliti keperluan sama ada untuk meminda akta sedia ada seperti Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, atau menggubal akta khusus mengenai buli siber.

“Saya baru maklumkan kepada Kabinet bahawa kita mempunyai beberapa kajian (sebelum ini), tetapi kita belum berada di peringkat yang kita akan mengesyorkan atau akan membawa rang undang-undang (RUU) itu ke Parlimen. Namun, kita masih boleh mengambil tindakan sekarang berdasarkan undang-undang sedia ada dan semasa,” ujarnya. 

 

Sumber: Astro Awani & Kosmo

Destination: