Polis Siasat Si Suami Setelah Ibu & Dua Orang Anak Ditemui Mati Tergantung Pada Kipas

TERKINI
February 21, 2024 - 10:52 AM


Panggilan dari seorang lelaki berkenaan sebuah kejadian ngeri telah menyebabkan pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kes penemuan mayat seorang wanita dan dua anaknya yang ditemui maut tergantung di kipas sebuah rumah.

Menurut Harian Metro, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pada jam 9.25 kemarin, Balai Polis Lenggeng menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu.

"Lelaki itu memaklumkan terdapat seorang wanita dan dua kanak-kanak ditemui mati di sebuah taman perumahan.

"Hasil siasatan awal mendapati wanita berumur 34 tahun dan dua kanak-kanak perempuan berusia tiga serta enam tahun dijumpai mati tergantung di kipas," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika di lokasi kejadian, Abdul Malik berkata, pihak polis turut menemui sebuah nota tulisan si mati yang menyatakan dia berdepan masalah rumah tangga.

"Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai membuat tangkapan ke atas suami si mati kira-kira jam 1 pagi tadi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Permohonan reman dipohon di Mahkamah Majistret Seremban pada pagi ini dan reman dibenarkan selama empat hari bermula hingga 23 Februari depan," katanya.

Ketiga-tiga mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.

 

Sumber: Harian Metro

Destination: