Saudara Terdekat Umur 17 Tahun Didakwa Bunuh Nuraina Humaira

TERKINI
August 27, 2024 - 11:21 AM


Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan Orang Asli yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan lembam.

Tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan paya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Lasah dalam daerah Sungai Siput (U), di sini antara jam 2.30 petang hingga 5 petang, 16 Ogos lalu.

Atas kesalahan itu, tertuduh yang juga saudara terdekat mangsa itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan dan untuk pesalah kanak-kanak hendaklah ditahan penjara selama mana diperkenan mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan oleh RS Vitthiyeswary, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Oktober depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, patologi, asid deoksiribonukleik (DNA) dan laporan prestasi pelajar.

Destination: