"Saya Dianiaya, Ini Semua Fitnah" - Bapa Zayn Rayyan

TERKINI
June 07, 2024 - 10:44 AM


Perkarangan Mahkamah Petaling Jaya sedikit kecoh pagi ini apabila ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tiba di Mahkamah Majistret 5 sekitar 9.28 pagi tadi. 

Difahamkan kekecohan tersebut dicetuskan ahli keluarga ibu bapa kanak-kanak itu yang bertindak berteriak dan menjerit tidak puas hati sebaik melihat pasangan yang memakai pakaian lokap bewarna ungu itu masuk ke dalam mahkamah. 

Mereka juga membawa gegantung tertera “Keadilan untuk Zayn Rayyan” di perkarangan mahkamah. Selain itu, bapa kepada Zayn juga sempat mengatakan sesuatu.

"Saya dianiaya, ini semua fitnah," kata Zaim. 

Ibu kepada bapa Zayn juga menjerit meminta keadilan untuk anak lelakinya itu. 

"Kami mahu pembunuh yang sebenar, ibu tahu Zaim tidak salah," jeritnya.

Peguam, Fahmi Abd Moin yang mengesahkan beliau dilantik bagi mewakili ibu bapa kepada kanak-kanak itu tiba di mahkamah, pada 8.25 pagi. 

Terbaru, tempoh reman terhadap kedua ibu bapa Zayn Rayyan telah disambung selama enam hari.  

Majistret, Ainaa Muhamad Kamal mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri itu yang berbaju lokap berwarna ungu direman sehingga Rabu ini.

Pada 5 Disember tahun lalu, kanak-kanak enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai sebelum mayatnya ditemui berhampiran aliran anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari blok unit kediamannya di Apartment Idaman pada keesokan hari.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya. 

 

Sumber: Harian Metro & Sinar Harian

Destination: