Selewang Dana Awam RM70 Juta, Akaun Aman Palestin Dibekukan - SPRM

TERKINI
November 23, 2023 - 02:35 PM


Keprihatinan terhadap kemelut yang melanda penduduk di Palestin menyebabkan ramai rakyat di negara ini mahu memberi bantuan terutama melalui sumbangan wang kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang bertanggungjawab. 

Namun baru-baru ini, timbul desas desus mengenai sebuah NGO terkenal yang dikatakan telah melakukan penyelewengan. Hal tersebut menimbulkan persoalan kepada orang ramai.

Terkini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa mereka telah membeku 41 akaun dan beberapa entiti syarikat lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin berjumlah RM15,868,762 selepas didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

SPRM dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, tindakan itu diambil selepas siasatan terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dijalankan sejak 17 Oktober lalu.

"Sebelum ini, SPRM turut menggeledah premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

"Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574)," katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM turut merakam keterangan beberapa saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Mesti ramai yang terkejut lagi-lagi mereka yang dah salurkan bantuan melalui NGO tersebut...

Sumber: Harian Metro

Destination: