"Semoga Ada Keadilan Untuk Arwah" - Mahmud Jumaat Tidak Lagi Wakili Ibu Zayn Rayyan

TERKINI
July 26, 2024 - 11:18 AM


Peguam Mahmud Abdul Jumaat memaklumkan beliau tidak lagi mewakili ibu kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Mateen, 6, yang mati 6 Disember tahun lalu. 

Beliau yang dari firma Tetuan Emir Mahmud & Co mengesahkan perkara tersebut sebelum sebutan semula kes pengabaian ke atas Allahyarham Zayn Rayyan hari ini.

“Saya rasa, saya bukanlah peguam yang sesuai untuk kes ini. 

"Ya, saya tidak lagi mewakili ibu Zayn Rayyan (Ismanira Abdul Manaf). Tugas saya hanya sampai di sini. Semoga ada keadilan buat arwah. #Justice4ZaynRayyan,” katanya. 

Difahamkan, Ismanira akan diwakili peguam Fahmi Abd Moin yang turut mewakili suaminya sebelum ini. 

Sementara itu, Ismanira Abdul Manaf, 29, yang memakai jubah biru gelap bertudung coklat sementara suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 29, berbaju Melayu hitam kelihatan tenang ketika hadir ke mahkamah. 

Pada 28 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 29 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal. 

 

Sumber: Kosmo & Buletin TV3

Destination: