Semua Syarikat Penerbangan Tak Berminat. Betul Ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka Bakal Berkubur?

TERKINI
October 26, 2023 - 12:58 PM


Usaha menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, Melaka sebagai pintu masuk pelancong hampir terkubur selepas tiada satu pun daripada 7 syarikat penerbangan komersial yang berminat untuk beroperasi di situ.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata -- setakat ini kerajaan negeri masih menunggu maklum balas daripada 7 syarikat berkenaan.

Jelasnya, ini termasuk syarikat daripada Singapura dan Indonesia yang berbaki lima hari lagi sehingga akhir bulan ini.

“Sampai ke hari ini, semua syarikat penerbangan komersial itu belum beri maklum balas terhadap tawaran kerajaan negeri sebelum ini dan (mungkin) mereka tak berminat.

“(Kerana) operasi sebelum ini pun penumpang hanya ramai pada musim tertentu seperti perayaan dan cuti sekolah selain kedudukan LTAM yang terlalu dekat dengan Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaGazette pernah melaporkan kekecewaan orang ramai apabila LTAM menghentikan operasi pesawat komersial sejak bulan Ogos lalu apabila penerbangan komersial terakhir Pulau Pinang adalah pada Jun lalu -- manakala dari Pekan Baru, Indonesia 16 Ogos.

Susulan itu pada September lalu, Melaka menawarkan insentif kepada tujuh syarikat penerbangan komersial sekiranya mereka mahu beroperasi di LTAM sebagai timbal balas kerugian akibat kurang mendapat sambutan.

Mengulas lanjut, Hameed berkata kerajaan negeri bagaimanapun masih mengharapkan berita gembira daripada mereka sebelum 30 Oktober ini.

Ditanya adakah kerajaan sedia membuat tawaran ‘luar biasa’ untuk memastikan LTAM dapat beroperasi sempena TMM2024, beliau berkata akan berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Kami akan berbincang mungkin untuk cari alternatif lain namun perlu tunggu Ketua Menteri pulang dari luar negara berkaitan misi pelaburan yang turut mempunyai kaitan dengan LTAM.

“Tapi setakat ini, LTAM sedia menerima mana-mana pesawat komersial termasuk yang ditempah khas untuk mendarat di Melaka,” katanya.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: