"Mati Bergelimpangan, Mulut Berbuih & Organ Keluar Darah" - 50 Ekor Lembu Ditemui Diracun Sebab Masuk Kebun Durian!

TERKINI
March 09, 2023 - 05:03 PM


"Mati bergelimpangan, mulut berbuih dan organ keluar darah" -- itu keadaan menyayat hati 50 ekor lembu yang ditemui tidak sedarkan diri di kawasan kebun durian di Machap Umboo, Alor Gajah, Melaka dipercayai akibat diracun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, pada awalnya haiwan itu ditemui mati hanya dua ekor kira-kira jam 7.30 pagi, 7 Mac lalu -- sebelum jumlahnya meningkat mencecah puluhan ekor.

Kejadian disedari oleh pekerja ternakan sebelum memaklumkan kepada pemiliknya dengan mengatakan terdapat lembu mati di tanah kebun berhampiran.

Pemilik lembu itu bersama adiknya kemudian ke tanah kebun terbabit dan mendapati terdapat hampir 50 ekor lembu miliknya mati di sekitar kawasan itu.

Pemilik lembu terbabit berusia 42 tahun memaklumkan sehari sebelum kejadian iaitu kali terakhir dia melihat lembunya kira-kira jam 6.30 petang, kesemua haiwan itu berada dalam keadaan baik.

“Pemilik memaklumkan disebabkan cuaca hujan, lembu miliknya tidak dimasukkan ke dalam kandang dan dibiarkan berkeliaran mencari makanan di dalam ladang kelapa sawit.

“Hasil siasatan dijalankan mendapati lembu-lembu itu menceroboh kawasan tanah kebun tanaman kebun durian selain terdapat kesan pagar roboh akibat dirempuh binatang,” katanya.

Siasatan dilakukan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar dengan mengambil sampel mendapati kemungkinan lembu-lembu itu mati akibat keracunan.

“Diberitahu keadaan lembu itu mati dalam keadaan mulut berbuih, organ keluar darah serta keadaan dalaman abnormal.

“Akibat kejadian itu, pemiliknya dikatakan rugi kira-kira RM200,000 selain kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem menerusi hantaran Facebook rasminya berkata, hasil lawatannya ke ladang ternakan berkenaan mendapati semua lembu yang diracun itu berada dalam keadaan mulit berbuih dan berdarah di bahagian punggung.

Sumber: Melaka Hari Ini

Destination: