Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 5 Ahli Keluarga Suspek Didakwa Terbabit Ideologi IS

TERKINI
June 19, 2024 - 02:54 PM


Lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS). 

Tertuduh membabitkan bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang merupakan warga Singapura. 

Selain itu, turut didakwa adalah tiga adik beradik kepada suspek iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19. 

Radin Imran berhadapan empat pertuduhan termasuk Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS). 

Fahaman itu didakwa disemai oleh Radin Imran kepada semua anggota keluarganya termasuklah Radin Luqman, 21, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram; isterinya serta tiga anaknya yang lain.

Anak lelaki sulungnya, Radin Romyullah pula berdepan dua pertuduhan, manakala isteri dan dua anak perempuan Radin Imran pula masing-masing hanya berdepan satu pertuduhan.

Pada 24 Mei lalu, semua lima ahli keluarga lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, itu ditahan dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), selepas tempoh reman mereka berakhir pada hari yang sama. 

 

Sumber: Harian Metro

Destination: