Serangan Balai Polis Ulu Tiram: KPN Sahkan Suspek Ahli Jemaah Islamiyah, 7 Individu Ditahan
TERKINITerkini, pihak polis telah mengesahkan lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi, merupakan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, suspek yang berusia 34 tahun itu sememangnya mempunyai kaitan dengan JI dan telah membuat persediaan untuk melakukan serangan.
“Polis telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya yang berusia lingkungan 15 hingga 62 tahun, dipercayai ahli serpihan Jemaah Islamiyah.
“Bapa suspek adalah ahli Jemaah Islamiyah di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan JI,” katanya.
Bapa kepada suspek yang ditembak mati selepas serang balai polis Ulu Tiram, Johor pagi ini didapati anggota Jemaah Islamiyah JI - Ketua Polis Negara.
— Mohd Redzuan Abdul Manap (@redzuanNewsMPB) May 17, 2024
Selain itu, dua orang pelajar masing-masing berusia 21 dan 22 tahun juga ditahan selepas hadir di balai polis sebelum kejadian, kononnya untuk membuat laporan berkaitan kes cabul.
“Kejadian (kes cabul) dua tahun dahulu datang balai jam dua pagi, macam tak logik, jadi kita tangkap kedua-duanya,” ujarnya.
Tambahnya, polis mendapati suspek telah membuat persediaan sebelum melakukan serangan di Balai Polis tersebut.
“Beg yang digunakan sebagai pelindung telah diisi dengan barangan untuk bertempur dengan polis, kemungkinan dia datang untuk mendapatkan senjata api.
“Saya telah mengarahkan Cawangan Khas untuk mendapatkan semua anggota JI yang berada di Johor untuk dikenal pasti dan disiasat.
“Kita ada lebih daripada 20 anggota JI sedang disiasat,” ujarnya.
Razarudin juga berkata, pihaknya akan meningkatkan kawalan keselamatan di Balai Polis sekitar negeri itu.
“Kawalan di balai akan dipertingkat dan polis akan maklumkan kepada pihak Istana dan Menteri Besar kerana ia adalah tanggungjawab kami.
“Kami akan meningkatkan peronda di balai dan jika ada pencahayaan kurang di mana-mana balai ia akan dipertingkatkan,” katanya lagi.
Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, dua anggota polis dilaporkan terbunuh dan seorang lagi cedera parah, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.
Sumber: Astro Awani