Sesi Persekolahan 2024/25: KPM Umum 2 Hari Baju Seragam, 2 Hari Baju Sukan & 1 Hari Baju Ko-Kurikulum

TERKINI
January 19, 2024 - 01:24 PM


Berita baik untuk ibu bapa dan anak-anak yang masih bersekolah! Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) baru sahaja mengumumkan garis panduan dan peraturan pemakaian murid yang baharu bagi sesi persekolahan 2024/25.

Garis panduan yang baharu ini dikhabarkan akan memudahkan urusan ibu bapa kerana tidak lagi perlu menggosok baju sekolah anak-anak setiap hari.

Dimaklumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KPM, sebentar tadi, semua pelajar di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) hanya perlu memakai baju seragam dua hari, baju sukan dua hari dan 1 hari baju kokurikulum ketika sesi persekolahan.

Fadhlina memaklumkan, surat pekeliling dan makluman lanjut mengenai arahan pemakaian itu akan dikeluarkan kemudian. Menurutnya lagi, KPM memutuskan demikian selepas sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk guru dan wakil komuniti.

"Bagi sesi 2024/2025 yang bermula Mac ini, setelah sesi libat urus dengan semua pihak, baik pihak industri, mereka yang berkaitan dengan pendidikan, khususnya guru-guru, pentadbir dan wakil-wakil komuniti, maka KPM memutuskan untuk pakaian seragam bagi 2024/2025 diteruskan seperti berikut, dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum," katanya.

Sebelum ini KPM memberi kelonggaran pemakaian baju sukan pada 3 Mei tahun lalu susulan cuaca panas melanda negara bagi mengelakkan sebarang komplikasi kesihatan terhadap murid, guru dan kumpulan pelaksana.

 

Sumber: Astro Awani

Destination: