Suspek Kes Buli Siber Di Tiktok Ditahan Polis

TERKINI
July 09, 2024 - 11:12 AM


Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan dakwaan ugutan terhadap seorang pempengaruh yang meninggal dunia minggu lalu selepas dikatakan dibuli di platform TikTok. 

Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata wanita tempatan berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira 1.45 pagi tadi di Rawang susulan laporan seorang lelaki pada Sabtu lalu. 

Katanya, suspek direman hingga 10 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Selain itu, beliau juga menyatakan terdapat dua hantaran di akaun TikTok “Dulal Brothers” dan “Alphaquinnsha” mengandungi ugutan serta ancaman terhadap pempengaruh terbabit yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah. 

“Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar dikemukakan pengadu kepada polis, namun disyaki telah dipadam kedua-dua pemilik akaun TikTok tersebut,” katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini, seorang pempengaruh TikTok warga tempatan yang dikenali sebagai Esha, telah mencabut nyawanya sendiri akibat tekanan melampau selepas dibuli dan menerima ugutan mahu memperkosanya. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut berdukacita di atas berita tersebut dan berharap pihak polis melakukan siasatan segera di atas apa yang berlaku. 

 

Sumber: Free Malaysia Today 

Destination: