Syiling Bocor Sehingga Menyebabkan 'Banjir', Pejabat JPJ Wangsa Maju Bahagian Pelesenan Ditutup Sementara

TERKINI
May 08, 2024 - 11:30 AM


Malam semalam (7 Mei), tular di media sosial satu video yang menunjukkan keadaan sebuah kaunter Bahagian Pelesenan Pemandu di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur (KL) di Wangsa Maju yang dipenuhi air. 

Bukan itu sahaja, melalui video tersebut dapat dilihat air mencurah-curah turun daripada syiling sehingga terkena pada peralatan elektronik seperti komputer, mesin cetak dan banyak lagi. 

Terbaru, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli memaklumkan perkara itu berlaku disebabkan kebocoran siling bangunan dan ekoran itu ia terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi kerja baik pulih dilakukan. 

Menurut beliau, pihaknya masih menanti laporan mengenai insiden terbabit dari JPJ KL. 

“JPJ KL sedang menyiapkan laporan termasuk dari segi kerosakan dan akan menghantar kepada kami (Ibu Pejabat JPJ) hari ini (8 Mei).

“Tindakan pembaikan akan dilakukan segera dengan hanya tempat terjejas sahaja sementara, manakala bahagian lain akan beroperasi seperti biasa.

“Kita akan pastikan perkhidmatan di bahagian terbabit tidak akan terjejas dan akan berjalan seperti biasa,” ujarnya. 

Beliau juga memberi jaminan bahawa operasi perkhidmatan agensi itu di cawangan Wangsa Maju, Kuala Lumpur masih lagi beroperasi seperti biasa hari ini, petik Harian Metro. 

“Hanya tempat yang terkesan sahaja (ditutup sementara) dan bukan seluruh bangunan itu.

“Cuma ada beberapa seksyen di JPJ Wangsa Maju yang terpaksa ditutup untuk proses baik pulih antaranya di bahagian pelesenan pemandu, namun tidak semua kawasan terkesan banjir itu,” katanya.  

 

Sumber: Harian Metro

Destination: