Tipu Borang Ikrar Kastam Dakwa Mainan Kanak-Kanak, Alat Mainan Seks Bernilai RM2 Juta Dirampas

TERKINI
June 05, 2024 - 03:24 PM


Sebanyak 11,220 alat mainan seks bernilai lebih RM2.04 juta dirampas Jabatan Kastam Diraja (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) ketika serbuan Ops Publika di sebuah gudang logistik sekitar Shah Alam, Selangor, pada 20 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun, merangkap penyelia gudang ditahan dalam serbuan dilaksanakan pukul 1 tengah hari.

“Bertindak atas risikan pegawai, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) berjaya menyita dagangan alat mainan dewasa atau ‘sex toys’ yang disyaki tidak berkastam melalui serbuan di sebuah gudang logistik di Shah Alam, Selangor.

“Hasil pemeriksaan rapi terhadap gudang terbabit menemukan sebanyak 11,220 unit alat mainan seks yang mempunyai lebih 10 jenis dan jenama.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM2.04 juta dan diklasifikasikan sebagai barang Larangan Mutlak di bawah Jadual Pertama, Butiran Kelima, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam Diraja WPKL, di sini, hari ini.

Jelasnya, modus operandi utama yang dijalankan adalah membuat pengikraran palsu di dalam Borang Kastam 1 sebagai mainan kanak-kanak (toys) dan dagangan tersebut dibawa ke gudang logistik untuk disimpan, sebelum dijual secara pukal kepada pemborong tempatan.

“Kita masih mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat bagi tindakan selanjutnya manakala kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.” jelasnya.

 

Destination: