Tukang Masak Warga Asing Gesel Kemaluan Pada Kanak-kanak 2 Tahun Didakwa

TERKINI
May 31, 2024 - 03:47 PM


Seorang tukang masak dari negara India didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang semalam atas satu pertuduhan menggesel kemaluan pada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, di sebuah medan selera minggu lalu.

Tertuduh, K. Senthilnathan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Malaysia di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh memandangkan pertuduhan itu adalah serius dan merupakan kes yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, Norhashimah mencadangkan jaminan dibenarkan pada kadar sekitar RM15,000 selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan serta tidak menganggu dan mendekati mangsa termasuk saksi pendakwaan.

“Ibu mangsa juga merupakan peniaga berdekatan dengan gerai tempat tertuduh bekerja. Jadi, mereka mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Bagaimanapun, peguam S. Selvaakumaran yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan dibenarkan ke atas tertuduh pada kadar yang minima.

“Tertuduh merupakan penanggung kepada ibu bapa yang sudah uzur yang tinggal di India termasuk seorang anak berusia dua tahun yang mempunyai masalah kesihatan.

“Mohon jaminan dibenarkan pada kadar RM2,500 sehingga RM5,000. Pihak kami juga tidak membantah sekiranya mahkamah ingin mengenakan sebarang syarat tambahan jaminan,” kata peguam itu.

Norhashimah kemudian permohonan kadar jaminan yang minima itu dengan menyifatkan jaminan yang rendah boleh mewujudkan risiko tertuduh untuk melarikan diri serta tidak menggambarkan keseriusan pertuduhan.

Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Norshila kemudian membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia.

“Tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis berdekatan dengan kediaman sekali setiap bulan serta dilarang menganggu dan mendekati mangsa, serta berjumpa dengan keluarga mangsa,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 September depan bagi sebutan semula kes.

Sumber: Utusantv.com

Destination: