Wanita & Anak Kecil Terpelanting Atas Jalan Selepas Motosikal Dibonceng Dihempap Dahan Patah

TERKINI
May 29, 2024 - 11:19 AM


Sebuah video dashcam yang memaparkan kejadian empat beranak yang menaiki sebuah motosikal tercampak selepas dahan pokok patah di Jalan Bukit Putus semalam, telah tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 59 saat itu, kelihatan dahan pokok di tepi jalan tersebut patah ketika empat sekeluarga berkenaan melalui kawasan tersebut.

Kejadian itu menyebabkan pembonceng wanita dan kanak-kanak perempuan tercampak atas jalan. 

Sebuah kereta jenis Proton Saga yang berada bersebelahan motosikal tersebut turut terkena serpihan dahan yang patah itu dan sempat memberhentikan kenderaannya apabila melihat mangsa terjatuh. 

Tidak lama kemudian pemilik dashcam memarkir kenderaan di bahu jalan dan kelihatan penunggang motosikal meninggalkan motor di tepi sebelum berlari mendapatkan mangsa.

Pemilik dashcam turut segera keluar dari kenderaan dan cuba untuk membantu mengawal lalu lintas bagi memaklumkan terdapat kejadian kemalangan yang berlaku. Turut kelihatan terdapat kenderaan lain juga berhenti untuk membantu mengangkat mangsa. 

Menerusi ruangan komen, wanita dipercayai si ibu dan kanak-kanak tersebut sudah mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah akibat kecederaan di bahagian muka.

Menurut maklumat yang dikongsikan, mereka sekeluarga dalam perjalanan menghantar pesanan makanan. Sementara itu, sumber polis berkata, setakat pukul 6 pagi tadi, mangsa masih belum membuat laporan polis. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: