12 Tips Elak Jadi Mangsa 'Scam Teksi' Ketika Bercuti Di Luar Negara

December 23, 2019 - 04:46 PM


Siapa yang tak seronok dapat melancong ke luar negara dan melihat keindahan negara orang.

Tapi realitinya tak semua yang kita alami ketika bercuti ke negara asing hanyalah indah-indah belaka kerana pastinya ada juga yang terselit dengan kenangan pahit yang takkan dapat dilupakan dan menjadi pengajaran untuk diri kita di masa depan seperti kes ditipu oleh pemandu teksi asing.

Seorang pengguna Facebook, Zainuddin Omar yang telah beberapa kali berpeluang mengembara ke luar negara berkongsi pengalaman peribadinya terkena 'scam taxi' terutama di lapangan terbang untuk ke hotel.

Beliau juga turut berkongsi 12 tips berguna untuk pelancong Malaysia amalkan ketika berada di luar negara terutama sekiranya menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut.

Berikut antara perkongsiannya :-

TIP 101: BEBERAPA TIPS MENAIKI TEKSI DI NEGARA ASING UNTUK KESELAMATAN DIRI

Saya banyak menggunakan perkhidmatan taxi semasa di luar negara, terutamanya dari airport ke hotel. Paling banyak scam adalah penggunaan taxi dari airport kerana pemandu taxi mengambil kesempatan ke atas pelawat yang masih teragak agak dengan sistem pengangkutan dinegara yang baru dijejaki.

BUENOS AIRES

Gambar taxi dimana pemandunya cuba scam saya di Buenos Aires. Lihat seat depan yang dibaringkan untuk melindungi meter yang rosak.

Di domestik airport Buenos Aires tiada taxi coupon, dan semua passenger terpaksa beratur untuk ambil taxi luar. Saya tunjukkan alamat hotel dan nampak taxi dreber menekan meter taxi.

Kerusi passenger depan dia baringkan jadi saya tak nampak meter berjalan. Sampai hotel taxi dreber kata 800 pesos (RM240) walhal hanya 7 km dan trip 15 minit sahaja. Saya dah agak yang dia nak scam saya. Saya suruh dia angkat backpack saya ke lobi hotel dan saya tanya receptionist berapa kos biasa tambang airport ke hotel.

Sementara itu dreber taxi menjerit jerit 'Pay Pay Pay' tetapi saya buat tak dengar. Orang orang hotel pun nampak macam tak mau commit untuk memberitahu berapa rate yang biasa (maklumlah bangsa mereka juga).

Akhir sekali saya jerit kat dia yang saya akan ambil gambar dia dan repot kepada polis. Saya bayar dia 300 pesos (RM90), iaitu tambang taxi yang saya bayar di Puerto Iguazu ke Airport sahaja. Dia ambil duit itu dan menjerit jerit dalam bahasa yang saya tak faham (mencarut lerteww😃).

Berhati hatilah, kerana dimana mana airport pun jikalau tiada taxi coupon, kes scam macam ini memang menjadi satu perkara kebiasaan.

STOCKHOLM

Di Stockholm saya pernah menahan taxi untuk perjalanan sejauh 5 km. Alhamdulillah pemandu Somalia memberi saya amaran bahawa tambang taxi dengan meter dianggarkan RM500. Nasib baik dia seorang pemandu yang jujur.

BARCELONA

Di Barcelona saya pernah di scam dengan kos RM400 dari hotel ke airport domestik.

MESIR

Di Cairo Mesir saya dah nego dengan taxi dreber kos £100 (RM20) untuk ke satu tempat. Dreber siap bersumpah Watallahi Wabillahi tidak akan caj lebih. Sampai ke destinasi dia caj saya £400 kerana alasan melalui jalan pintas. Saya hanya membayar £100 dan terus beredar dengan dreber memaki hamun.

NORWAY

Di Narvik Norway saya dicaj RM200 untuk trip taxi selama 5 minit tetapi ianya mengikut meter dan pada lewat malam.

MEKAH

Di Mekah kami kena sembelih RM400 menaiki taxi ke Tanaim walhal perjanjian awal hanya RM200 kerana alasan bulan ramadan dan jalan jam (zahmah).

Seboleh-bolehnya, saya cuba menggunakan Uber di negara asing tetapi ianya memerlukan talian wifi. Satu lagi masalah dengan Uber adalah menentukan tempat meeting point.

12 TIPS JIKA MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN TEKSI DI LUAR NEGARA

1. Jika menggunakan perkhidmatan taxi di negara asing, pastikan ada meter dan jika tiada, nego harga dahulu sebelum naik. Apabila nego tambang pastikan harga samada 'per person' atau 'per taxi'.

2. Buat homework terlebih dahulu untuk mengetahui anggaran kos perjalanan dengan google atau bertanya kepada orang tempatan.

3. Pastikan bag penting bersama anda dan hanya bag berat dimasukkan kedalam boot taxi. Banyak kes dimana taxi melarikan bag yang disimpan didalam boot bila pelanggan baru keluar dari taxi.

4. Ambil gambar permit semasa didalam taxi dan buatlah aksi berwelfie dengan pemandu taxi untuk merekod wajah beliau. Dengan cara ini pemandu taxi akan berhati hati untuk menipu.

5. Guna maps.me untuk panduan semasa menaiki taxi agar pemandu tahu yang anda menggunakan GPS. Kebiasaan pemandu tidak akan menipu dengan melalui jalan jauh untuk menaikkan kos perjalanan jika dia mengetahui anda menggunakan GPS.

6. Gunakan koupon taxi di airport jika ada. Walaupun harganya mahal sedikit tetapi tiada penipuan akan berlaku.

7. Trick biasa pemandu taxi adalah tiada duit kecil (loose change) agar anda memberi duit baki sebagai tip. Bawalah duit kecilan walaupun agak susah terutama nya apabila baru sampai ke negara baru. Bawa banyak usd1 sebagai duit picisan.

8. Gunakan perkhidmatan taxi yang ternama saperti Bluebird di Indonesia atau Vinasun Taxi di Ho Chi Minh city.

9. Ada pemandu taxi yang tidak tahu tempat ke destinasi selepas anda menaikinya. Pastikan anda gunakan waze, google maps atau maps.me untuk mendapat panduan dan 'mengajar' pemandu tersebut.

10. Pastikan meter taxi dikosongkan sebelum memulakan perjalanan. Tegur pemandu jika dia terlupa atau disengajakan.

11. Bayar tambang taxi setelah semua bag dikeluarkan dari boot kereta sahaja. Jika ada masalah, ambil gambar dia dan nombor pendaftaran taxi dengan phone dan jerit 'Polis'.

12. Tunjuk dan sebut denominasi duit note kepada pemandu sebelum membayar agar tidak tertipu dengan scam silap mata pertukaran duit.

Sumber: Zainuddin Omar

 

 

Destination: