5 Perkara Wajib Korang Ketahui Sebelum Travel Naik Kapal Cruise

February 26, 2020 - 12:23 PM


Melancong dengan menaiki kapal persiaran antara pengalaman berbeza yang perlu kita rasai sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Bercuti di atas kapal mewah dan mengelilingi lautan luas pastinya memberikan sebuah kenangan manis yang takkan dapat dilupakan.

Buat korang yang belum pernah atau baru pertama kali nak merasai pengalaman travel dengan kapal persiaran, ada beberapa hal yang perlu korang ketahui mengenai peraturan kapal Cruise yang berlainan dengan pengangkutan lain.

Berikut 5 peraturan yang perlu korang ketahui sebelum travel naik kapal mewah tersebut.

1) TIADA PEMULANGAN WANG

Kebanyakan syarikat kapal persiaran tidak mempunyai kemudahan untuk pengembalian semula wang yang telah dibayar.

Jadi selepas membeli tiket atau pakej perjalanan dengan kapal persiaran, korang janganlah menaruh harapan untuk mendapatkan semula duit itu jika tiba-tiba korang terpaksa membatalkan rancangan tersebut.

Ada beberapa kapal persiaran yang akan meminta untuk bayaran pendahuluan sebelum tarikh pelayaran dan ada juga yang meminta untuk bayaran penuh semasa korang menempah pakej perjalanan.

Oleh itu, sebelum menempah atau membuat bayaran pastikan korang betul-betul tekad untuk menyertai pelayaran tersebut dan pastikan juga tiada perkara-perkara timbul di saat-saat akhir menjelang tarikh travel berkenaan supaya duit korang tak 'hangus' jika berlaku sebarang pembatalan.

2) HARGA

Macam kita tahu harga untuk menaiki kapal persiaran ni bukannya murah, tapi sangat berbaloi dengan kemudahan dan pengalaman yang akan kita dapati ketika bersiar-siar dengannya.

Sebenarnya kalau korang memesan tiket perjalanan lebih awal daripada tarikh pelayaran, korang boleh dapat juga tawaran harga yang lebih rendah daripada harga asal.

Jangan lupa untuk buat perbandingan harga dengan beberapa lagi syarikat kapal Cruise yang menawarkan pakej perkhidmatan yang sama, untung nasib dapat yang harga lebih murah dan berbaloi-baloi!

3) SYARIKAT KAPAL BERHAK BUAT KEPUTUSAN 

Satu perkara yang perlu korang ketahui bahawa travel dengan kapal persiaran ini sebenarnya mempunyai risiko untuk dibatalkan pada bila-bila masa atas pelbagai alasan oleh pihak syarikat kapal.

Contohnya, jika kapten kapal melewatkan masa berlabuh disebabkan oleh penyesuaian jadual atau larangan berlabuh di beberapa negara seperti yang terjadi baru-baru ini akibat penularan wabak COVID-19.

Syarikat kapal mewah juga mempunyai hak mutlak untuk membatalkan penyertaan pelancong jika didapati mereka disyaki mempunyai sebarang penyakit atau wabak berbahaya yang boleh berjangkit kepada penumpang lain.

Para penumpang juga harus mengikuti sesi latihan keselamatan asas yang perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam sebelum kapal mula belayar ke destinasi yang ditetapkan.

4) KEADAAN KAPAL YANG SESAK DENGAN PENUMPANG

Bila memikirkan kita akan menaiki sebuah kapal mewah dan bersaiz gergasi, mesti kita ingat kita takkan bersesak-sesak dengan orang ramai.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini melancong dengan Cruise sering menjadi pilihan masyarakat dunia, jadi jangan hairan sekiranya kapal yang besar itu pun penuh dengan lautan manusia di atasnya.

Jadi ada masa-masa tertentu seperti nak beratur turun atau naik ke pelabuhan, mandi di kolam renang atau mengambil makanan di restoran memerlukan kesabaran yang tinggi kerana korang akan terpaksa beratur panjang dengan penumpang lain.

5) JAGA BARANGAN & DOKUMEN PERIBADI SEBAIKNYA

Bila dah ramai orang atas kapal, apa yang korang kena pastikan adalah menjaga dengan teliti setiap barangan dan dokumen perjalanan peribadi agar tidak tercicir atau hilang semasa beratur panjang ketika urusan turun naik dari kapal ketika berlabuh di negara yang disinggahi.

 

Destination: