Ada Yang Nak Buat 'Road Trip' Minggu Ni? Ini 5 Tips Jaga-Jaga Daripada Jangkitan Pandemik!

July 24, 2020 - 01:07 PM


Disebabkan kita masih berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan pintu sempadan negara belum dibuka untuk perjalanan ke luar negara, ramai antara kita yang memilih untuk Cuti-Cuti Malaysia bagi melapangkan fikiran selepas beberapa bulan terkurung duduk di rumah.

Mungkin ada yang memilih untuk bercuti ke pantai dan pulau, ada juga yang lebih suka bercuti eko-pelancongan di dalam hutan dan ada juga yang mungkin lebih menggemari percutian singkat berupa 'road trip' bersama keluarga atau rakan-rakan ke destinasi 'syurga makanan'.

Walau apa pun pilihan jenis percutian domestik kita, jangan lupa untuk sentiasa mendahulukan keselamatan dan kebersihan diri serta orang lain ketika jalan-jalan memandangkan pandemik COVID-19 masih belum pulih secara total.

Berikut beberapa tips penting yang boleh anda lakukan jika ada yang sedang merancang 'road trip' dalam waktu terdekat ini :-

1. Bawa Kelengkapan Kesihatan

Meskipun kebanyakan hotel menyediakan kelengkapan kecemasan namun tidak ada salahnya jika kita bawa sendiri daripada rumah seperti topeng muka, sanitizer, tisu basah, sarung tangan, ubat dan sebagainya.

Ia mungkin mengambil ruang dalam beg anda tetapi percayalah ia sangat berguna sekiranya sesuatu terjadi.

2. Pastikan Semua Penumpang Sihat

Sebelum berangkat ke destinasi ditujui, pastikan semua penumpang tidak mempunyai gejala atau sedang sakit. Ini sangat penting kerana agak sukar untuk menjaga jarak dalam kenderaan kecil yang boleh menyebarkan virus.

Paling baik kalau sebuah kereta hanya menghadkan beberapa orang sahaja agar ada ruang kosong bagi membolehkan penjagaan jarak.

3. Jangan Kerap Berhenti

Sepanjang perjalanan hindari berhenti ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sekiranya tiada sebarang keperluan terutamanya di kawasan ramai orang.

Bawa makanan dan minuman daripada rumah untuk dimakan di dalam kereta malah ia lebih menjimatkan bajet percutian anda.

4. Hati-Hati Guna Kemudahan Tempat Awam

Sentiasa berhati-hati sebelum menggunakan sesuatu kemudahan awam kerana kita tidak pasti berapa ramai yang telah menggunakannya sebelum kita seperti di tandas, tempat cuci tangan atau pun di surau.

Bagi yang Muslim, adalah lebih baik sekiranya anda membawa sendiri keperluan solat seperti telekung dan sejadah tanpa terpaksa berkongsi dengan orang lain.

5. Hirup Udara Segar

Apabila tiba di kawasan selamat dan bebas daripada pencemaran, matikan penghawa dingin dan buka tingkap kereta untuk menghirup udara segar.

Ia bukan sahaja nyaman tetapi dapat membantu meningkatkan kesihatan fizikal dan mental kita saat bercuti.

Semoga dengan kesemua tips ini akan dapat melindungi diri anda dan orang lain daripada jangkitan penyakit serta membuatkan percutian anda lebih seronok!

Sumber: Mstar

Destination: