Balik Bercuti Korang Alami 'Holiday Blues'? Ini 6 Tips Untuk Atasinya!

November 04, 2019 - 04:07 PM


Korang pernah tak bila balik dari bercuti panjang ke luar negara, rasa malas sangat nak kembali bekerja dan asyik teringat-ingat je momen-momen gembira sepanjang tempoh melancong itu?

Inilah yang dinamakan anda sedang mengalami simptom-simptom 'Holiday Blues'!

Alaa...yang macam korang malas nak masuk office bila hari Isnin tu atau dipanggil 'Monday Blues'. Lebih kuranglah!

Tapi sebenarnya ada cara atau tips yang boleh korang lakukan untuk menghilangkan rasa 'Holiday Blues' tu.

Nak tahu macam mana? Apa kata korang cuba 6 tips yang disenaraikan di bawah ini.


1. KEMAS BAGASI DENGAN SEGERA

Perkara pertama yang perlu korang lakukan adalah jangan biarkan bagasi terus terbiar di sudut bilik. Segera kemas dan cuci baju-baju kotor yang dibawa pulang & simpan beg di tempat yang sesuai agar korang dah tak lihat bayang-bayang beg tersebut yang boleh mengingatkan korang tentang kisah percutian lalu.

 

2. RANCANG PERCUTIAN ANDA YANG SETERUSNYA

Kehidupan seharian tentu lebih membosankan apabila percutian berakhir. Atasi rasa bosan ini dengan menyelidik dan membuat rancangan untuk percutian seterusnya pula.

Selain memberikan korang sesuatu untuk dinanti-nantikan, membuat tempahan tiket penerbangan lebih awal juga akan lebih menjimatkan. Tetapi ingat, jangan sampai curi tulang di pejabat!

3. LUANGKAN MASA DI LUAR

Mungkin juga 'jet lag' atau gangguan ritma harian akibat perbezaan waktu menyumbang kepada rasa murung yang korang alami. Namun jangan luangkan terlalu banyak masa terperap dalam rumah.

Sebaliknya, keluar rumah dan bersiar-siar sambil menghirup udara segar dan manfaatkan vitamin D dari cahaya matahari, yang kesemuanya akan membuat korang rasa lebih bertenaga.

 

4. JANGAN TERUS KEMBALI BERTUGAS

Apabila merancang percutian, jangan pulang pada saat-saat terakhir, seperti mendarat pada Ahad malam dan terus kembali bekerja pada pagi keesokan harinya.

Peruntukkan satu atau dua hari untuk berehat agar korang dapat kembali bekerja lebih segar dan bertenaga!

5. KEMBALI PADA RUTIN ASAL

Tidur berlebihan dan melengah-lengahkan tanggungjawab hanya akan membuat korang rasa sugul.

Sebaliknya jika korang bijak, cuba atur kegiatan dan kerja yang akan membuatkan masa korang terisi dengan aktiviti bermanfaat. Bila sibuk, korang pun takkan ada masa atau sempat nak mengenang kembali bibit-bibit kenangan yang korang rindui ketika bercuti.

 

6. JUMPA KAWAN-KAWAN

Sebelum kembali dari bercuti, buat perancangan untuk bertemu dengan rakan-rakan dan ahli keluarga.

Selain memberi peluang untuk korang berkongsi cenderahati atau ole-ole bersama mereka, ia juga secara tak langsung memenuhkan jadual korang dan membuatkan korang rasa gembira di sebalik kesibukan jadual bekerja seharian.

Destination: