Risau Mandi Sungai Atau Air Terjun? Ini Petua Kenal Pasti 3 Jenis 'Kepala Air'

October 05, 2021 - 02:51 PM


Semenjak kerajaan membenarkan aktiviti riadah dan rekreasi -- ramai yang bertumpu di kawasan pantai, sungai, tasik ataupun air terjun untuk berkelah bersama keluarga tersayang.

Tetapi memandangkan sekarang ini cuaca selalu mendung dan hujan, kadang-kala risau juga nak pergi berkelah atau camping di kawasan air terjun atau anak sungai.

Bila selalu sangat musim hujan, tak mustahil untuk sesebuah kawasan itu berlaku kejadian 'kepala air' yang boleh mengundang beberapa perkara buruk yang tidak diingini berlaku.

Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa ambil tahu dan pandai dalam mengenalpasti jenis-jenis ‘kepala air’ bagi mengelakkan sebarang tragedi meragut nyawa. Ia sekali gus membuatkan kita lebih berhati-hati dengan keselamatan diri dan memilih lokasi perkelahan.

Jom kenal pasti 3 jenis ‘kepala air’ yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Iqbal Halim ini sebagai panduan.

Ramai yang risau nak camping di kawasan air terjun kerana takut dengan kejadian kepala air terutama kaum perempuan la. Jadi kat sini nak share sikit ilmu tak seberapa ni.

Saya pernah merasai pengalaman ini sendiri sewaktu berkelah di Batu Hampar, Yan.

Kepala air terbahagi kepada 3 jenis:

1. KEPALA AIR YANG BOLEH DIJANGKA 

Contoh sewaktu kita camping, kawasan situ tengah hujan lebat. Sewaktu tu arus sungai kita boleh nampak lebih deras daripada biasa. Jadi waktu macam ni tak payah la pi mandi kat sungai, mandi air hujan jek sudah le.

2. KEPALA AIR YANG ADA TANDA 

Kadang-kadang kawasan kita camping tak hujan pun, cerah saja tapi sebenarnya di kawasan atas bukit atau gunung tengah hujan lebat. Antara tanda-tanda nak jadi kepala air macam ni:

  • Akan datang buih putih.
  • Selepas buih datang daun-daun pokok.
  • Kemudian datang ranting kayu.
  • Lepas tu air jadi amat keruh.
  • Akhirnya baru datang kepala air bersama dahan pokok mati dan sampah.

Pengalaman ini saya rasai di Batu Hampar Yan. Kami baru saja turun untuk mandi, kemudian datang tanda-tanda kat atas.

Ada adik yang baru sekolah menengah tak mau naik pasal baru saja turun. Tak puas mandi la katakan. Lepas kena marah kaw-kaw baru terhegeh-hegeh nak naik.

Sekali datang kepala air baru dia pucat lesi. Kalau dia tak dengar cakap kompom mati pasal dia bukan tahu berenang pun.

3.KEPALA AIR YANG TAK DIJANGKA

Benda ni jadi bila ada tanah runtuh yang menutup laluan air sehingga terjadi empangan sementara.

Air mula bertakung dan akhirnya bila empangan pecah terus datang kepala air yang turun dengan laju dan secara tiba-tiba. Tapi benda ni jarang sangat nak jadi.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Begini rupanya cara untuk kenal pasti ‘kepala air’. Jadi jika ada perancangan untuk pergi berkelah atau berkhemah di air terjun mahupun anak sungai, lebih berhati-hati dengan keselamatan diri dengan perhatikan tanda-tanda ini iya. Semoga dapat mengelakkan dari berlakunya tragedi yang tidak diingini.

Sumber: Iqbal Halim

Destination: