3 Tasik Paling Top Untuk Korang OOTD Cantik

TRAVEL
August 10, 2023 - 01:10 PM


Tasik selalu dirujuk sebagai takungan air yang sangat dalam dan ia berbeza dengan lautan.

Bagi tasik terbentuk semula jadi biasanya terdapat di kawasan pergunungan, zon rekahan dan kawasan yang baru atau sering mengalami glasier.

Namun ada juga terbentuk hasil aktiviti perlombongan. Baik tasik semulajadi mahupun buatan, kedua-duanya mempunyai keunikan panorama tersendiri.

Tidak hairan peminat swafoto atau kaki 'update' media sosial menjejak lokasi tarikan bagi menyajikan latar gambar pemandangan menarik untuk pengikut mereka.

Berikut penulis senaraikan antara 'port' tasik yang kerap diburu kaki media sosial bagi menghasilkan naskhah karya yang menarik untuk pengikut mereka.

1. Tasik Cermin, Ipoh, Perak

Lokasi ini pernah tular kerana tindakan ekstrem seorang pengunjung yang bertindak terjun dalam tasik.

Penangan peristiwa itu ramai terpaksa memendam rasa untuk menikmati panorama unik iaitu permukaan air tasiknya yang dikatakan memantulkan pemandangan bukit sekitarnya.

Jika bernasib baik, warna langit biru juga boleh kelihatan asalkan cuaca baik dan permukaan tasik yang tenang.

Cumanya untuk sampai 'ke gigi' tasik, ada platform besi dan anda perlu menapak beberapa meter menerusi terowong.

Disarankan tidak berkunjung ke situ ketika cuaca hujan kerana kemungkinan ia ditutup atas faktor platform untuk ruang bergambar tenggelam.

2. Tasik Cermin, Setia Alam, Selangor

Walaupun rona warna air tasik hijau kebiru-biruan 'memanggil-manggil' anda untuk berenang, elakkan sama sekali melakukan perkara itu.

Ini kerana lokasi ini hanya sesuai untuk aktiviti bergambar atau menikmati pemandangan sekitarnya.

Untuk sampai ke lokasi itu sebenarnya anda perlu menyusuri trek yang sama ke Bukit Sapu Tangan. Difahamkan kedudukan tasik itu hanya beberapa meter dari kawasan parkir.

3. Tasik Biru, Bau, Sarawak

Rona biru yang luar biasa dikatakan terhasil daripada aktiviti perlombongan emas di lokasi terbabit.

Dikatakan juga warna biru luar biasa itu disebabkan kepekatan tinggi bahan arsenik beracun di tasik. Namun sejauh mana kebenarannya masih tidak pasti.

Kini tasik ini menjadi tarikan unik, malah pelbagai aktiviti rekreasi ditawarkan operator kawasan terbabit.

Dari kemudahan chalet sehingga kepada fasiliti riadah turut disediakan. Orang ramai boleh melakukan aktiviti seperti kayak, menaiki bot dan menyeberangi tasik mengikut kadar bayaran tertentu.

Sumber: Harian Metro

Destination: