AirAsia Sambung Semula Penerbangan Ke Nha Trang dan Da Lat, Vietnam!

TRAVEL
July 06, 2022 - 01:57 PM


Sebelum ini jika bercuti ke Vietnam, hanya terhad berkunjung ke bandar-bandar besar seperti Hanoi dan Ho Chi Minh -- tetapi kini anda juga berpeluang terbang terus ke dua lagi destinasi popular yang lebih dekat dengan alam semulajadi!

Ini kerana syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menyambung semula penerbangan ke Nha Trang dan Da Lat di Vietnam, masing-masing bermula pada 8 Julai dan 10 Julai ini.

Pasti anda sudah terbayang betapa indahnya Pantai Nha Trang yang menyajikan pelbagai hidangan laut popular dan keindahan angin lautnya yang cukup menyegarkan.

Atau pilihan lain anda juga boleh memilih untuk menyelami keindahan hutan pain, tasik dan air terjun di Da Lat yang cukup dikenali sebagai 'City of Eternal Spring'.

Perkhidmatan penerbangan berjadual ke dua destinasi pelancongan popular di Vietnam ini disambung semula atas permintaan ramai pengembara.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, dengan momentum terhadap pelancongan santai semakin meningkat sejajar dengan pembukaan semula sempada antarabangsa di kebanyakan negara di rantau ini, AirAsia berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam pemulihan industri pelancongan dengan menyambung semula laluan-laluan popular ke Vietnam.

"Dengan penyambungan semula penerbangan antara Kuala Lumpur dan Vietnam yang dinanti-nantikan oleh para tetamu serta syarikat penerbangan kami, kami ingin merakamkan tanda penghargaan kami kepada kerajaan Vietnam kerana memudahkan syarat perjalanan dan kemasukan bagi pelawat ke Vietnam.

"Kami akan bekerjasama erat dengan kedua-dua kerajaan Malaysia dan Vietnam untuk memberikan lebih banyak peluang dalam membantu menyokong pemulihan ekonomi di kedua-dua rantau ini," katanya.

Para tetamu boleh mula membuat tempahan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Nha Trang dan Da Lat dari serendah RM149 sehala, menerusi aplikasi airasia Super App.

Bermula 8 Julai, kekerapan penerbangan ke Nha Trang sebanyak dua kali seminggu, manakala dua kali seminggu juga ke Da Lat mulai 10 Julai.

Berikut adalah perkara yang perlu anda ketahui untuk memasuki Vietnam:

1. Semua pengembara yang menerima vaksin lengkap boleh memasuki Vietnam tanpa sebarang ujian pra-pelepasan, dan warganegara Malaysia boleh memasuki Vietnam tanpa visa dan tinggal di negara tersebut selama 14 hari.

2. Sewaktu ketibaan, pengembara yang berumur dua tahun ke atas harus memuat turun aplikasi PC-Covid dan mengisytiharkan sebarang simptom pada aplikasi tersebut sepanjang tempoh mereka tinggal di negara itu dan memiliki insurans perubatan yang mempunyai perlindungan untuk rawatan Covid-19 dengan liabiliti minimum sebanyak USD10,000.

3. Pengasingan diri tidak lagi diperlukan apabila tiba di Vietnam.

Selain Nha Trang dan Da Lat, AirAsia baru-baru ini menyambung semula perkhidmatan penerbangan antarabangsa ke Yangon di Myanmar.

Sumber: Mstar

Destination: