Asyik Hat Yai Je, Jom Kita Ke Satun Pula! - 7 Tempat Menarik Daerah Selatan Thai Tersebut

TRAVEL
August 08, 2023 - 04:07 PM


Cuti penggal persekolahan hujung Ogos nanti mesti ada yang dah tempah tiket penerbangan dan ada juga yang masih terfikir untuk ke luar negara, kan? 

Nak pergi negara seberang, mahal-lah pula tiket flight, nak pergi selatan Thailand, Hatyai dah selalu sangat. Pernah tak korang terdengar daerah Satun? Percayalah, Satun tak kurang hebatnya jika nak dibandingkan dengan tempat lain di Thailand.

Selain daripada tempat-tempat menarik yang terkenal di Thailand seperti Phuket dan Krabi, Satun ni jarang disebut. Namun, jangan pula salah anggap! Terletak di bahagian selatan Thailand, terdapat banyak tempat menarik di Satun yang menanti untuk korang terokai.  

Walaupun tidak  sepopular seperti destinasi lain di Thailand, pilihan tempat menarik di Satun ini tetap boleh memberikan pengalaman travel yang terbaik. Korang akan dapat ketahui kebanyakan tempat menarik di Satun dapat menawarkan anda pengalaman travel yang menarik dan unik di Thailand. Min kasi korang 7 tempat yang patut dilawati bila dah jejakkan kaki ke Satun!

1. Taman Bunga Matahari (Khao Thanan Thung Wa)

Terletak di wilayah Phatthalung, taman bunga ini terkenal dengan pemandangan ladang bunga matahari yang luas dan menakjubkan.Saat musim bunga tiba, taman ini akan dipenuhi dengan bunga matahari yang berkembang mekar, mencipta suasana yang menenangkan dan memukau hati.

Korang boleh berjalan-jalan di sekitar taman untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan ini dan mengambil gambar untuk dijadikan kenangan.

Di sini juga ada sebuah cafe yang sangat menarik untuk bergambar. Nak ambil OOTD untuk Instagram, jomlah ke sini! Untuk pencinta bunga matahari atau nature lovers, pastikan anda kunjungi taman ini.

2. Koh Li Pe

Dengan pasir putih yang lembut, air laut yang jernih seperti kristal dan pemandangan matahari terbenam yang indah, Koh Li Pe merupakan pulau kecil yang sangat menawan di Thailand Selatan.

Pulau yang digelar sebagai 'Maldives of Thailand' ini mempunyai tiga pantai yang indah iaitu Sunrise Beach, pantai matahari terbenam dah yang paling popular ialah pantai Pattaya.

Pulau kecil yang seakan-akan menjadi syurga tersembunyi ini mempunyai pelbagai aktiviti menarik untuk dicuba seperti memancing, menyelam, snorkeling dan menunggang skuter di sekitar pulau.

Selain itu, pengunjung juga boleh merasa keselesaan dan ketenangan dengan memanjat bukit kecil di tepi pantai atau menjelajah hutan-hutan tropika yang hijau.

3. Pantai Rawai

Anda tidak akan menemui deretan hotel mewah atau pusat membeli-belah yang ramai di sini, tetapi lebih kepada suasana yang santai dan damai. Pantai Rawai terkenal dengan kehidupan dan aktiviti nelayan yang aktif, jadi korang akan nampak banyak bot nelayan di sini.

Korang boleh juga membeli ikan segar dari pasar ikan yang terletak bersebelahan dengan pantai. Pantai Rawai juga terkenal dengan restoran-restoran yang menyajikan hidangan laut segar dan lazat. Menariknya dekat sini, korang boleh mencuba masakan laut yang popular seperti tom yam, kerang bakar dan bermacam-macam lagi-lah!

Pantai Rawai atau Rayway ini adalah sebahagian daripada Taman Negara Kepulauan Phetra dan pantai ini boleh diakses dengan motosikal dan kereta.

4. Masjid Al-Hashimi

Masjid Al-Hashimi merupakan spot seterusnya yang mesti korang singgah jika ke Satun. Reka bentuknya memang mirip Masjid Al Aqsa di Baitulmaqis nun.

Masjid berkubah kuning ini menjadi replika masjid di Baitulmaqdis ini adalah salah satu tempat menarik di Satun, terutamanya bagi yang masuk Thailand melalui sempadan Wang Kelian. Terletak lebih kurang 24km dari sempadan Wang Kelian, seni binanya sangat unik kerana reka bentuk dan ukuran yang sama termasuk saiz, lantai, dinding dan hiasan dalaman.

Masjid ini mampu memuatkan 7,000 orang, 5,000 orang di dalam dan 2,000 orang jemaah di bahagian luar. Jadi, bagi korang yang ingin merasai pengalaman beribadah di Satun, pastikan Masjid Al Hashimi ini menjadi salah satu destinasi wajib singgah!

5. Masjid Mambang/Pusat (Satun Central Mosque)

Terletak di pusat bandar Satun, masjid ini memiliki reka bentuk yang menggabungkan unsur-unsur seni Islam tradisional dan seni bina moden. Kubah dan menara yang menjulang tinggi ini menjadi mercu tanda utama di bandar Satun.

Tempat yang sesuai untuk menunaikan solat selepas pemanduan jauh dari Malaysia. Selain itu, dengan taman-taman hijau yang indah di sekitarnya, menjadikan masjid ini sebagai lokasi yang ideal untuk meluangkan masa bersama keluarga atau mengambil gambar-gambar yang cantik.

Jika korang sedang merancang trip ke Satun, jangan lepaskan peluang untuk melawat Masjid Mambang yang menakjubkan ini. Ia pasti akan memberikan anda pengalaman yang indah dan korang akan berpeluang untuk terokai lebih banyak lagi tempat menarik di Satun.

6. Pantai Pak Bara

Tempat ini paling syok untuk lihat pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan! Dihamparkan dengan pasir putih dan air laut yang jernih menjadikan pantai ini tempat yang ideal untuk aktiviti sunbathing, berenang serta snorkeling.

Pantai Pak Bara juga dikelilingi oleh kehijauan dan tebing yang menambahkan suasana yang menenangkan jiwa dan sesuai untuk santai bersama keluarga.

Sewaktu berada di sini, jangan lupa untuk merasai keenakan makanan laut yang segar dan enak yang pastinya akan memuaskan selera korang. Banyak kedai yang menghidangkan makanan laut terletak di kawasan pantai yang korang boleh cuba.

7. Pekan Thung Wa (The Town of Little Penang)

Korang tahu tak di Satun terdapat sebuah pekan yang dikenali sebagai The Town of Little Penang? Pekan Thung Wa atau 'The Town of Little Penang' adalah sebuah bandar kecil yang terletak di daerah ini.

Pekan ini adalah sebuah destinasi yang unik dan menjadi semakin popular dalam kalangan pelancong yang ingin merasai budaya Melayu yang berbeza di Thailand. 

Semestinya korang akan terpesona dengan rumah-rumah tradisional, pasar raya, kedai-kedai dan restoran-restoran yang menawarkan makanan Melayu yang lazat dan tradisional. 

Jangan lupa untuk mengambil gambar di depan mural-mural warna-warni yang menarik dan jangan lepaskan peluang untuk merasai kelazatan hidangan tradisional seperti laksa, rojak dan pelbagai lagi!

Percutian ke Satun pastinya menjadi destinasi korang yang seterusnya apabila tiba cuti panjang atau public holiday. Tak perlu naik kapal terbang atau naik bas persiaran, cukup dengan memandu kenderaan sendiri yang bermula dari Wang Kelian. Pemanduan tak sampai sejam ini akan buatkan korang mahu pergi ke Satun lagi dan lagi!

Destination: