Banyak Sebenarnya Korang Boleh Lakukan! - Ini 10 Aktiviti Dan Tempat Menarik Di Jakarta!

TRAVEL
July 12, 2023 - 03:01 PM


Baru-baru ini mata wang negara kita kian jatuh dengan RM4.60 sen berbanding 1 dolar Amerika. Walaupun kejatuhan wang ringgit, kita mesti nak bercuti untuk hilangkan sekejap tekanan di tempat kerja. Kalau tidak di dalam, di luar negara pun okay.

Tapi, ada ke percutian luar negara yang murah-murah dan tak cekik darah? Jawapannya, ada. Kalau korang ada perbelanjaan yang sedikit untuk bercuti di luar negara, tak perlu pergi jauh-jauh, cukup dengan bercuti ke negara jiran seperti Indonesia.

Nilai mata wang Rupiah dengan Ringgit tidak jauh beza dan anda masih boleh kekalkan bajet yang rendah untuk ke sini.

Min cadangkan korang pergi Jakarta, ibu negara dan merupakan bandar terbesar Indonesia. Sebut je pasal Jakarta, orang akan bercerita tentang populariti dan kekayaan budaya, sejarah dan kemudahan modennya.

Selain dari terkenal dengan tempat shopping dan makanan jalanannya, apa lagi yang menarik di Jakarta?

Ini min bagi korang 10 aktiviti dan tempat menarik yang korang patut pergi sepanjang berada di Jakarta.

1. Taman Mini Indonesia Indah (TMII)

Menjejakkan kaki ke Taman Mini Indonesia Indah ini seolah-olah korang telah meneroka isi Jakarta. Taman ini seumpama sebuah pusat budaya yang mengumpulkan serta memaparkan budaya daripada 300 etnik di Indonesia.

TMII yang kini berwajah baru menampilkan 70% kawasan hijau terbuka dan 30% bangunan.

Selain menyaksikan persembahan budaya dan replika rumah tradisional, anda boleh mengunjungi muzium, taman rekreasi, taman budaya, teater IMAX Keong Mas, anjungan dan Istana Anak.

Alamat : Kota Jakarta Timur, Daerah Khusus Ibukota Jakarta

2. Ragunan Zoo (Taman Margasatwa Ragunan)

Zoo Ragunan yang berkeluasan sekitar 147 hektar ini menempatkan lebih 2000 haiwan daripada 200 spesies dan dikatakan sudah wujud sebelum Indonesia mengecapi kemerdekaan.

Zoo yang terbesar di Jakarta ini turut mempunyai lebih 2000 spesimen dan 50,000 pokok bagi memberi mewujudkan persekitaran yang nyaman.

Korang boleh menyaksikan orang utan, gorila, chimpanzi, zirafah, gajah, harimau, unta dan banyak lagi. Selain melihat ragam haiwan anda boleh berekreasi dengan menyewa basikal atau menaiki bot.

Waktu operasi : 7.00am - 4.00pm

Alamat : Jl. Harsono RM No.1, Ragunan, Ps. Minggu, Kota Jakarta Selatan, Daerah Khusus Ibukota Jakarta, Indonesia

3. Dunia Fantasi (Dufan)

Dunia Fantasi yang lebih dikenali sebagai Dufan ini bakal membawa korang berseronok ke alam taman tema terbesar di Indonesia!

Dufan yang sudah beroperasi sejak tahun 1985 ini menawarkan permainan berteknologi tinggi yang dibahagi kepada 9 bahagian iaitu Indonesia, Jakarta, Asia, Eropah, Amerika, Yunani, Hikayat, Kalila dan Fantasy Lights.

Antara tarikan yang popular di sini adalah Rumah Riana, Baling-Baling, Kereta Misteri, The Conjuring House, Hysteria, Niagara Gara dan banyak lagi!

Waktu operasi : 10.00am - 5.00pm

Alamat : Jl. Lodan Timur No.7, RW.10, Ancol, Kec. Pademangan, Jkt Utara, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 14430, Indonesia

4. Muzium Nasional Indonesia

Muzium pertama yang didirikan di Asia Tenggara ini turut digelar sebagai Muzium Gajah yang menempatkan barangan arkeologi, sejarah, etnografi dan georafi.

Muzium yang dibina pada tahu 1778 ini juga digelar Muzium Gajah kerana pernah menerima patung gajah daripada Raja Chulalongkorn, Thailand pada tahun 1871.

Selain patung gajah, muzium ini mempunyai sebuah patung tertinggi iaitu patung Bhairawa sebagai lambang kewujudan Buddha serta arca Hindu tertua sekitar abad ke 4 Masihi.

Waktu operasi : 8.00am - 4.00pm

Alamat :  Jl. Medan Merdeka Barat No.12, Gambir, Kecamatan Gambir, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10110, Indonesia

5. Masjid Istiqlal

Masjid yang dibina pada tahun 1961 ini diberi nama ‘Istiqlal’ yang membawa maksud merdeka dan siap dibina pada tahun 1978 iaitu 33 tahun kemerdekaan Indonesia.

Masjid terbesar di Asia Tenggara ini mampu menampung jemaah sekitar 200,000 orang. 

Masjid ini terdiri daripada 5 tingkat di mana Sukarno yang menjadi ketua juri bagi memilih seni reka masjid tersebut dan dirasmikan oleh Presiden Suharto.

Kemegahan masjid ini telah menarik minat beberapa pemimpin dunia untuk mengunjunginya seperti Barrack Obama.

Waktu operasi : 4.00am - 12pm

Alamat : Jl. Taman Wijaya Kusuma, Ps. Baru, Kecamatan Sawah Besar, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10710, Indonesia

6. Monumen Nasional (Tugu Monas)

Selain Masjid Istiqlal yang menjadi simbol kemerdekaan bagi Indonesia, Monumen Nasional turut dibina untuk memperingati jasa rakyat Indonesia yang turut berjuang.

Tugu Monas yang berketinggian 132 meter ini dibina ketika pemerintahan Presiden Sukarno. Monumen ini terletak di tengah-tengah pusat bandar Jakarta iaitu di Lapangan Medan Merdeka dan dibuka pada jam 8 pagi hingga 10 malam untuk orang awam. Monumen yang turut terkenal adalah Monumen Pancasila Sakti.

Waktu operasi : 8.00am - 10.00pm

Alamat : Gambir, Kecamatan Gambir, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta

7. Sea World Ancol

Tarikan yang memfokuskan kepada pendidikan, konservasi dan hiburan ini begitu sesuai untuk membawa anak-anak korang meneroka hidupan di bawah laut. Mungkin korang sendiri akan terhibur apabila berkunjung ke sini.

Sea World Ancol mempunyai kira-kira 7000 ekor hidupan air tawar dan 11,000 hidupan laut yang dipamerkan di akuarium dan kolam terbuka.

Korang boleh berjalan di bawah Antasena Tunnel sambil menyaksikan Feeding Show daripada dua penyelam atau menyaksikan Live Feeding Shark di Shark Aquarium. Tarikan lain adalah Truck Aquarium dan Digital Gallery.

Waktu operasi : 9:30am – 4:00pm

Alamat :  Jl. Lodan Timur No.7, RW.10, Ancol, Kec. Pademangan, Jkt Utara, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 14430, Indonesia

8. Suropati Park

Taman Suropati yang terletak di Menteng, Jakarta ini merupakan lokasi terbaik untuk korang menghabiskan waktu petang kerana lanskapnya yang begitu menarik dan betul-betul terjaga.

Di sini turut menampilkan persembahan muzik daripada warga tempatan. Taman ini dipenuhi pengunjung pada waktu pagi dan petang untuk beriadah dan bersantai.

Selain dari Suropati Park, korang boleh juga ke Taman Wisata Alam Mangrove (Angke Kapuk), Taman Menteng, Taman Situ Lembang, Tebet Eco Park dan Barito Park yang berdekatan.

Alamat : Jl. Taman Suropati No.5, RT.5/RW.5, Menteng, Kec. Menteng, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10310, Indonesia

9. Kota Tua Jakarta

Ingin menyelusuri tinggalan sejarah yang masih terdapat di Jakarta? Kota Tua Jakarta atau Batavia Lama merupakan desitinasi yang tepat untuk diterokai. Wilayah kecil ini pernah menjadi pusat perdagangan yang masyhur pada abad ke-16 dan sering dikunjungi oleh pelayar Eropah. 

Antara bangunan bersejarah dan tarikan yang terdapat di kota ini adalah Muzium Wayang, Jambatan Kota Intan, Stadium Jakarta Kota, Pejabat Pos, Gedung Dasaad Musin, Muzium Sejarah Jakarta, Meriam Si Jagur dan banyak lagi.

Alamat : VR68+WRX, RT.3/RW.4, Mangga Besar, Kec. Taman Sari, Kota Jakarta Barat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 11110, Indonesia

10. Gedung Kesenian Jakarta

Bangunan tinggalan sejarah zaman Belanda ini telah berfungsi sebagai Gedung Kesenian Jakarta di mana para seniman mempamerkan karya seni mereka. Korang boleh menyaksikan persembahan drama, teater, orkestra, filem, sastera dan banyak lagi karya seni lain.

Gedung seni ini boleh memuatkan sekitar 475 orang dan dilengkapi dengan peralatan teknologi yang lengkap untuk mempamerkan hasil seni yang berkualiti.

Waktu operasi : 8.00am - 4.00pm

Alamat : Jl. Gedung Kesenian No.1, Ps. Baru, Kecamatan Sawah Besar, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10710, Indonesia

Lambakan tempat menarik yang korang boleh jelajah dan teroka di sekitar bandaraya Jakarta ini dengan bajet yang kecil sebenarnya. Pergi semak harga tiket penerbangan ke Jakarta sekarang dan jom pergi bercuti!

Destination: