Batik Air Malaysia Kini Terbang Ke Hat Yai & Krabi Bermula September 2024

TRAVEL
July 16, 2024 - 09:44 PM


Sebelum Hat Yai dan Krabi, Batik Air telah memperkenalkan laluan ke Istanbul, Guilin, Kunming, Zhangjiajie , Zhengzhou, Chengdu, Guangzhou dan Haikou.

Menurut Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Malaysia kini menduduki tempat pertama sebagai pengunjung teratas ke Krabi, manakala Hat Yai menerima kira-kira 2.5 juta pelawat Malaysia setiap tahun.

Syarikat penerbangan premium Malaysia, Batik Air baharu sahaja melancarkan laluan dari Kuala Lumpur ke dua destinasi  yang sentiasa menjadi pilihan rakyat Malaysia iaitu Hat Yai dan Krabi.

Menurut kenyataan rasmi dikeluarkan Batik Air, dua laluan ini akan mula beroperasi pada setiap hari bermula 13 September 2024 menggunakan pesawat B737 dengan tempat duduk dwikelas.

Pilihan itu menawarkan fleksibiliti kepada penumpang untuk memilih antara kelas Perniagaan dan Ekonomi dalam memastikan keselesaan dan pilihan kepada pengalaman perjalanan premium ini.

Perluasan bagi laluan baharu ini menandakan komitmen Batik Air untuk meningkatkan pilihan perjalanan dan ketersambungan yang lancar di destinasi yang paling memikat di Asia Tenggara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy melihat aspek tarikan di kedua-dua destinasi jelas memainkan peranan dalam pengenalan laluan baharu ini.

“Tahun lalu, sebanyak 4.62 juta pelancong Malaysia meneroka keajaiban Thailand, menggariskan tarikan destinasi seperti Hat Yai dan Krabi yang semakin meningkat.”

“Pengembangan laluan ini sejajar dengan komitmen kami untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan menawarkan pengalaman perjalanan luar biasa,” ujar beliau.