"Berhenti Main Lagu Dangdut, Ganti Dengan Dondang Sayang" - Pengusaha Beca Melaka Dapat 'Arahan Khas' Dari Kerajaan Negeri
TRAVELJika sebut tentang beca pasti ramai yang terus membayangkan dua negeri yang begitu sinonim dengan kenderaan yang dijadikan sebagai tarikan pelancong iaitu Melaka dan Pulau Pinang.
Bagi mereka yang belum pernah merasai pengalaman menaiki beca pasti teruja untuk mencubanya buat pertama kali jika bercuti di kedua-dua negeri berkenaan.
Justeru bagi menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa, selalunya pelbagai inisiatif dilakukan oleh para pengusaha beca seperti menghias kenderaan mereka dengan pelbagai tema dan kerlipan lampu berwarna-warni.
Lebih menarik perhatian, mereka juga turut memainkan beberapa muzik untuk menghiburkan pelanggan ketika menaiki beca seperti lagu-lagu seperti Top 40, Balada, dan yang paling popular Dangdut.
Seramai 370 Pengusaha Beca Disarankan Main Lagu Tradisional Melaka
Walau bagaimanapun, kerajaan negeri Melaka pada hari ini telah meminta seramai 370 pengusaha beca di Bandar Hilir untuk menggunakan lagu tradisional Melaka dan bukannya muzik dangdut.
Antara lagu tradisional yang disarankan itu adalah seperti Dondang Sayang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan Seni dan Budaya negeri iaitu Datuk Abdul Razak Abdul Rahman saranan untuk memasang lagu tradisional itu perlu untuk diikuti oleh pembawa dan pengusaha beca bersempena dengan sambutan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Usaha Untuk Perkenalkan Budaya Negeri Melaka Kepada Pelancong
Malah cadangan untuk menggunakan lagu bergenre seperti itu adalah salah satu usaha dalam memperkenalkan budaya Melaka apabila tampil dengan lagu-lagu Melayu asli khususnya Dondang Sayang untuk didengari pelancong luar.
“Mereka juga diminta untuk tidak memasang lagu terlalu kuat sehingga boleh menimbulkan rasa kacau dan ganggu kepada pelancong yang menaiki beca mengelilingi kawasan Bandar Hilir.
“Kita ada menerima banyak aduan daripada pelancong yang berasa tidak selesa dengan bunyi lagu yang dipasang terlalu kuat dan bingit, terutama bila mereka memasang lagu dangdut.
“Bukan tak boleh pasang lagu tetapi biarlah cukup setakat boleh didengar oleh pelancong yang menaiki beca itu,” ujarnya, lapor Kosmo.
Jangan Kenakan Caj Mahal Kepada Penumpang
Selain itu, pengusaha beca juga dinasihatkan untuk tidak mengenakan caj perkhidmatan yang terlalu mahal sebaliknya mengekalkan harga asal iaitu RM25 bagi perjalanan yang kurang sejam dan RM40 pula untuk sejam.
Hal ini kerana, kerajaan negeri telah mendapat aduan apabila terdapat beberapa pengusaha beca yang mengenakan caj yang mahal kepada para pelancong.
“Saya harap ikutlah harga standard kalau pelancong tularkan isu negatif ini, secara tidak langsung perkhidmatan beca di Melaka akan memberi kesan kepada semua industri beca.”
Ada Cadangan Untuk Buka Laluan Baru
Kata Abdul Razak lagi, pihak MBMB dalam masa sama ada membuat perancangan untuk membuka laluan baru serta lima pusat hentian beca untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
Walau bagaimanapun, cadangan itu masih lagi dalam perbincangan dan hanya akan diketahui keputusannya sebelum 25 Disember nanti.
“Laluan asal dari Dataran Quayside melalui Medan Samudera, Menara Taming Sari dan Bastion House dikekalkan serta ditambah laluan baharu dari Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan melalui Muzium Kesultanan Melayu Melaka serta masuk semula ke Bangunan Stadthuys,” katanya.
Sumber: The Rakyat Post