The Danna Langkawi : Hotel 5 Bintang Tawar Percutian Privasi Serba Mewah

TRAVEL
February 09, 2023 - 06:04 PM


Pasti ramai yang menginginkan percutian sebenar bagi merehatkan serta melapangkan minda dari urusan kerja dan tekanan harian.

Maka, tidaklah hairan pemilihan lokasi percutian yang tepat penting bagi kebanyakan mereka yang ingin lari dari kesibukan harian.

Mempamerkan keindahan pemandangan menakjubkan, The Danna Langkawi bakal menjadi destinasi percutian yang sesuai buat mereka yang mahukan ketenangan.

Terletak di Telaga Harbour Park, resort berinspirasikan kolonial-Mediterania ini mudah diakses ke pelbagai tarikan terkenal dan aktiviti luar di Langkawi.

Mengambil masa kira-kira 15 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan 25 minit dari Pantai Cenang, The Danna Langkawi merupakan lokasi percutian yang bakal menjadi kenangan berkekalan.

VILA PANTAI SERBA MEWAH

Pengunjung boleh menerokai vila kolam renang peribadi satu dan dua bilik tidur terbesar di Langkawi dengan akses terus ke pantai dan kemudahan mandian Salvatore Ferragamo bagi memberikan tetamu pengalaman mewah.

Dengan keluasan dari 490 sehingga 1,080 meter persegi, terdapat sembilan unit Princess Beach Villa (satu bilik tidur) dan satu unit Empress Beach Villa (dua bilik tidur) di The Danna Langkawi.

Princess Beach Villa boleh memuatkan empat orang dewasa, atau dua dewasa dan dua kanak-kanak manakala Empress Beach Villa sesuai untuk enam tetamu dengan empat dewasa dan dua kanak-kanak.

Princess Beach Villa

Setiap unit vila hadir dengan kolam renang infiniti peribadi, kerusi berjemur, kawasan terapi spa peribadi, ruang tamu serta ruang makan untuk keselesaan tetamu.

Kesemua vila ini terletak di sepanjang pantai yang bersih dan terpencil di Pantai Kok menghadap Laut Andaman yang mana tetamu boleh menikmati suasana indah dan tenang melalui reka bentuk dalaman, luaran serta pemandangan alam semula jadi.

Di Empress Beach Villa, tetamu boleh merasai pengalaman jakuzi luaran sambil berjemur di bawah sinar matahari dan menikmati pemandangan merentasi pantai dan lautan biru.

Selain itu, tetamu turut boleh mendapatkan perkhidmatan 24 jam pasukan Perhubungan Tetamu yang akan memenuhi keperluan tetamu sepanjang tempoh penginapan bermula dari menjamu selera di dalam vila hinggalah mengatur lawatan.

Ruang Tamu Empress Beach Villa

Setiap vila turut menyediakan TV pintar 65", akses tanpa had Netflix dan YouTube, iPad, dok iPod, sistem audio Bluetooth, bilik mandi berasingan dengan pancuran mandian hujan, tab mandian, bar mini percuma yang diisi semula setiap hari dan dek luar sesuai untuk seisi keluarga.

Tetamu juga boleh memilih pelbagai hidangan harian, sukan air, aktiviti riadah yang direka mengikut kesesuaian umur dan gaya hidup individu.

Lebih menarik, tetamu juga boleh merasai pengalaman bersarapan secara terapung dalam keselesaan dan privasi selain menikmati minum petang atau makan malam BBQ peribadi di dek vila sambil menikmati pemandangan indah.

Pengalaman Bersarapan Secara Terapung
Manjakan Diri Di Spa

Tetamu turut boleh mendapatkan rawatan spa di kawasan spa yang dibina khas bagi memenuhi privasi mereka.

Antara kemudahan lain di The Danna Langkawi termasuk kolam infiniti tiga tingkat, jakuzi, kolam kanak-kanak, gimnasium, The Danna Spa, kelab kanak-kanak, perpustakaan, bilik biliard dan bilik permainan.

SAJIAN DARI SERATA BENUA 

Menjamu Selera Di Terrace

Menampilkan hidangan terbaik termasuk masakan Itali, Barat, Asia dan Malaysia, tetamu boleh menikmati makan malam di Terrace yang diketuai Chef Giuliano Berta untuk pengalaman menjamu selera terbaik.

Selain itu, nikmati minum petang tradisional bangsawan di Straits & Co serta rasai juga hidangan ringan dan minuman lazat di The Deck sambil menghadap pemandangan laut ketika matahari terbenam.

Jangan ketinggalan untuk menjamu selera di Planter's yang menyajikan pelbagai pilihan menu Eropah dan Asia dengan sajian sarapan pagi setiap hari dan makan malam yang disediakan daripada bahan-bahan segar oleh cef utama The Danna Langkawi.

Untuk tempahan dan pertanyaan, hubungi +6049593288 atau layari www.thedanna.villas.

Sumber: BH Online

Destination: