Dari Penjara Pun Boleh Berkempen, Najib Tiba-Tiba Muncul Live di TV1 Semalam?

TRAVEL
October 25, 2022 - 12:22 PM


Jabatan Penjara nafi Najib rakam video di penjara

Jabatan Penjara hari ini menegaskan tiada sebarang rakaman video dibuat oleh mana-mana agensi media melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kes penyelewengan puluhan juta dana SRC International.

Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata hasil semakan video yang tular di media sosial itu  menunjukkan ia dirakam lebih awal (RTM) untuk digunakan secara bersiri sempena Kembara Keluarga Malaysia sebelum Najib dihantar ke penjara.

"Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik," tambahnya.

“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.

"Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab."

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung video tersebut di mana ramai yang mendakwa rakaman itu adalah bukti Najib diberikan ruang bersiaran semasa berada di penjara.

Video itu juga didakwa menjadi sebahagian daripada slot eksklusif yang diterbitkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Najib tak boleh berkempen dari penjara

Bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan tidak akan dapat mengeluarkan kenyataan, berikutan kenyataan Jabatan Penjara yang menghalang banduan daripada berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan bulan depan.

“Setakat ini apa-apa kenyataan yang mahu dikeluarkan oleh banduan dalam penjara... sememangnya tidak dibenarkan,” kata Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Supri Hashim kepada pemberita di sebuah acara di Melaka hari ini.

Beliau berkata larangan itu meliputi semua banduan, termasuk Najib, yang mula menjalani hukuman 12 tahun pada 23 Ogos selepas kalah dalam rayuan terakhirnya berhubung kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Supri berkata surat atau dokumen daripada banduan kepada keluarga mereka akan ditapis oleh jabatan itu sebelum dihantar keluar.

“Jabatan Penjara tiada kena mengena dengan politik dan kami hanya laksanakan tanggungjawab waima apa pun kerajaan yang memerintah,” tambahnya.

Sejak dipenjarakan, terdapat dakwaan bahawa Najib menerima layanan istimewa di penjara, termasuk dakwaan mengatakan bekas perdana menteri itu ditempatkan di sebuah rumah yang terletak dalam kawasan penjara.

Pihak penjara berulang kali menafikan spekulasi mengenai dakwaan berhubung pemenjaraan Najib.

Dakwaan itu turut menarik tumpuan ramai terhadap layanan yang diberikan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, yang merupakan pemimpin politik paling kanan pernah dipenjarakan sebelum Najib.

Bulan lalu, MalaysiaNow melaporkan ketua pembangkang itu diberikan layanan istimewa semasa menjalani hukuman penjara atas sabitan liwat.

Ia termasuk peguamnya yang membawa masuk bahan untuknya, serta menyeludup keluar kenyataan akhbar dan surat sebelum pembangkang melancarkan gabungan bersama pada PRU14.

Sumber: MalaysiaNow