Gah Berlatar Belakang Rawang Bypass, Bukit Matt di Rawang Antara Spot Terbaik Hiking Hujung Minggu

GAYA HIDUP
July 18, 2024 - 01:21 PM


Sebut saja Bukit Kuari atau Bukit Matt di Rawang, Selangor mungkin ramai tidak begitu mengenali nama kawasan pendakian ini melainkan komuniti pendaki yang aktif di Lembah Klang.

Tetapi jika panorama bukit itu membabitkan 'spot' ikonik, iaitu sebahagian Lebuhraya Rawang-Serendah atau lebih dikenali dengan nama Rawang Bypass dapat dilihat pada kemuncaknya, mungkin hampir semua pendaki di Malaysia mengetahui mengenai keistimewaan lokasi 'viral' itu.

Reputasi dengan menjadikan latar belakang jambatan lebuh raya tertinggi di Malaysia itu sebagai foto latar pemandangan untuk menghiasi akaun media sosial, ia antara kepuasan nyata bagi sesiapa yang dapat menawannya.

Bagi peminat aktiviti riadah pula, 'spot' berkenaan dilihat sebagai tempat yang sesuai untuk memenuhi aktiviti pendakian lebih santai sebagai latihan sebelum menghadapi trek lebih sukar.

"Dari segi trek untuk sampai ke puncak atau lokasi hentian bergambar dengan latar belakang pemandangan Rawang Bypass, ada dua laluan yang boleh dipilih pendaki.

"Tempoh masa untuk sampai mengikut langkah biasa adalah kira-kira 40 minit hingga sejam sama ada naik dan turun di laluan yang sama. Masa dipengaruhi trafik yang sesak di laluan bertali kerana tali yang sama bertukar giliran antara naik serta turun,"

7 Fakta Menarik Tentang Rawang Bypass

Macam tak percaya, tapi Lebuhraya Rawang-Serendah tersebut sebenarnya mengambil masa 12 tahun, dan RM628 juta untuk dilengkapkan. Haa, menarik kan? Jadi ini dia 7 lagi fakta menarik tentang Jalan Pintasan Rawang, ataupun Rawang Bypass:

1. TIADA TOL

Orang Lembah Klang macam Min sendiri memang dah lelah sangat dah dengan bayar tol ni, jadi, apabila Jalan Pintasan Rawang ni dibuka tanpa tol, memang sangat melegakan untuk mereka yang berulang-alik Kuala Lumpur, dan Rawang untuk berkerja.

Apa kata, kita buat banyak lagi jalan tanpa tol? Hehe

2. PROJEK TERGENDALA HAMPIR 6 TAHUN

Lebih tepat lagi, projek ini pernah tergendala selama 2132 hari dek prosedur dan proses-proses daripada pihak ketiga, yang langsung diluar kawalan JKR.

3. PERJALANAN 2 JAM, JADI 30 MINIT

Sebelum ini, mereka yang memulakan perjalanan dari Bandar Rawang memerlukan masa lebih kurang 2 jam untuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak. Tetapi, dengan lebuhraya 4 lorong Rawang Bypass, jadi 30 minit je walaupun pada waktu puncak!

4. MELALUI TAMAN WARISAN NEGERI SELANGOR

Rawang Bypass dibina melalui jajahan Taman Warisan Negeri Selangor sebesar 108,000 hektar, iaitu Taman Warisan ketiga terbesar Semenanjung Malaysia. Maksudnya, sambil memandu di atas Rawang Bypass, korang akan disajikan dengan pemandangan yang sangat tenang.

5. PEMBINAAN MESRA ALAM

Antara sebab mengapa Rawang Bypass dibina sangat tinggi, dan juga jalan yang bengkang bengkok adalah untuk mengelak daripada terlalu banyak pokok-pokok ditebang, dan akan menjejaskan eko-sistem. Jalan yang bengkang-bengkok telah berjaya mengekalkan sebanyak mungkin pokok dibawah binaan lebuhraya itu.

6. RUMAH KEPADA GIAM KANCHING

Giam Kanching merupakan sejenis spesis pokok yang hanya terdapat di Malaysia sahaja, dan hanya di Taman Warisan Negeri Selangor sahaja. Disebabkan Giam Kanching sangat berharga kepada Malaysia, dan turut disenaraikan sebagai spesis terancam, pembinaan lebuhraya ini turut mengambil kira langkah-langkah untuk mengelakkan kerosakan pada spesis Giam Kancing.

7. JALAN BERTINGKAT SEPANJANG 2.6KM, SETINGGI 60 METER

Ini merupakan fakta menarik yang menjadi faktor utama ramai ingin melalui jalan tersebut semata-mata, walaupun tiada urusan di Rawang. Bayangkan kalau Min ada kereta convertible dan lalu disini, disajikan dengan pemandangan hutan, dan angin malam. Peh!