'Kebun Che Mah' - Port Aktiviti Outdoor, Camping & Makan Durian View KL
TRAVELBagi penduduk Kuala Lumpur yang mungkin mencari sebuah destinasi mempesonakan dikelilingi kehijauan alam semula jadi, tetapi dalam masa sama dapat menikmati pemandangan pencakar langit termasuk Menara Kembar PETRONAS -- korang tak perlu pergi jauh-jauh!
Korang hanya perlu ke Kebun Che Mah, Kemensah, Ampang, Selangor bagi mengalami sendiri keunikan dan keistimewaan melakukan pelbagai aktiviti outdoor, berkhemah, makan durian dan menjamu selera dengan pemandangan KL yang sungguh mengasyikkan.
Untuk sampai ke Kebun Che Mah ini korang perlu menaiki pacuan empat roda dengan perjalanan singkat selama 15 minit yang begitu mencabar tetapi menyeronokkan.
Selain pacuan empat roda, korang juga boleh mendaki serta menyewa ATV untuk sampai ke Kebun Che Mah.
Kebun Che Mah juga merupakan laluan ke Permatang Kuarza Klang Gates atau lebih dikenali sebagai Bukit Tabur.
Dibuka 24 jam, kedatangan anda akan disambut ramah oleh pekerja, dan jika bernasib baik anda sendiri dapat berpeluang bertemu dengan pemiliknya, Nurul Hikmah Khalid.
Tidak lokek dengan senyuman, sikap ramah wanita yang berpersonaliti ceria membuatkan kehadiran anda amat disenangi.
PESTA DURIAN
Aktiviti yang menarik perhatian ramai tentunya pesta durian, lebih-lebih lagi rasa lemak manis Musang King, kata Nurul Hikmah yang lebih dikenali sebagai Che Mah.
"Di Kebuh Che Mah tersedia 200 pokok durian pelbagai jenis, antaranya D24, Golden Phoenix dan Musang King. Daripada 200 pokok durian, 150 pokok adalah Musang King.
"Selain itu, terdapat juga pelbagai tanaman seluas 5 ekar seperti pokok limau, roselle, rambutan, manggis, jambu batu, belimbing dan jagung serta sayur-sayuran antaranya bayam, sawi dan kailan," katanya.
Hidangan durian dan pelbagai jenis buah-buahan turut menambat hati pelancong tempatan dan asing terutama dari Korea, Jepun, Taiwan, China dan Australia.
"Ramai je yang buat kebun dan dusun dalam bandar. Tapi mungkin tidak secara besar-besaran atau serius. Keseluruhan lima ekar ini untuk tujuan pertanian.
"Di sini banyak tanah yang terbiar, jadi diharapkan kita dapat sokongan dan kongsi peluang untuk buat aktiviti pertanian secara besar-besar di sekitar Permatang Kuarza.
"Harapan saya supaya kawasan ini dikenali sebagai kebun Musang King dalam bandar. Kebun dalam bandar itu biasa tapi keunikan durian itu membuatkannya luar biasa," tambah Che Mah.
Percayalah, pesta durian ini merupakan acara yang paling dinanti-nantikan selain kehadiran orang awam untuk melakukan aktiviti outdoor.
BERKHEMAH
Menjadikan Kebun Che Mah sebagai eksklusif, mereka yang mahu melakukan aktiviti secara berkumpulan seperti team building atau berkhemah perlu membuat tempahan terlebih dahulu.
Dengan suhu sejuk di atas puncak dan pemandangan indah Kuala Lumpur menjadikannya sebagai lokasi yang sesuai untuk aktiviti perkhemahan.
Jangan risau, di sini tersedia kemudahan tandas dan surau.
Kebun Che Mah juga terletak bersebelahan dengan perkampungan Orang Asli Kemensah.
Maka diwujudkan juga pusat pembelajaran berorientasikan rekreasi untuk anak-anak Orang Asli yang dinamakan Rimba Learning Centre (RLC).
Kebun Che Mah turut menjadi persinggahan untuk menikmati sarapan seperti nasi lemak dan bihun goreng di Off Road Cafe buat kalangan pendaki melakukan aktiviti pendakian sejak awal pagi.
Walaupun makanan yang disajikan mungkin ringkas, tapi pemandangan yang memukau dari atas bukit ternyata luar biasa.
Mana lagi nak cari dusun dalam bandar yang menawarkan 1,001 tarikan yang sukar untuk digambarkan melainkan anda merasai pengalaman sendiri dengan berkunjung ke sini.
Maka tidak hairanlah Kebun Che Mah digelar sebagai Permata Kemensah atau Jewel of Kemensah. Tunggu apa lagi? Jom ke sini!
Sumber: Mstar & Kredit Gambar: Kebun Che Mah