Kereta Api 'Panoramic' Pertama Asia Tenggara Milik Indonesia Henti Operasi Bermula 9 Jan 2023. Ini Sebabnya...

TRAVEL
January 09, 2023 - 05:00 PM


Kami yakin salah satu 'bucket list' ramai orang adalah menaiki keretapi panoramik dengan kaca tingkap yang luas, menyajikan kita pemandangan indah sepanjang perjalanan dan laluan keretapi.

Kalau dahulu, salah satu destinasi yang mempunyai keretapi panoramik ini adalah Switzerland yang nun jauh di Eropah sana. Sudahlah jauh, Switzerland juga terkenal sebagai salah satu negara paling mahal dalam dunia. Tentunya memakan kos yang besar untuk kita merasai pengalaman tersebut.

Tapi sekarang, dah tak perlu lagi ke Switzerland untuk merasai pengalaman menaiki keretapi panoramik sebab dah ada pilihan yang lebih murah!

INDONESIA LANCAR 'KA PANORAMIC'

Negara jiran kita iaitu Indonesia, melalui syarikat PT Kereta Api Indonesia (KAI) baru sahaja melancarkan gerabak keretapi mewah dengan tingkap kaca yang luas pada 24 Disember lalu, bersempena dengan cuti perayaan Krismas dan Tahun Baru. 

Kereta Api Panoramik yang dinamakan 'KA PAnoramic' ini merupakan gerabak kereta api dengan spesifikasi khas bertujuan untuk menikmati panorama dan merupakan yang pertama di Indonesia.

Kereta api ini memberikan sensasi luar biasa kepada pelanggan dalam menikmati pemandangan sepanjang perjalanan.

KEISTIMEWAAN KERETA API PANORAMIC

Gerabak kereta api inovasi KAI ini mempunyai tingkap yang sangat besar di kedua-dua belah dan bumbung kaca yang memanjang dari hadapan ke belakang yang boleh dibuka dan ditutup secara automatik.

Penumpang KA Panoramic boleh menikmati beberapa kemudahan yang disediakan oleh KAI, antaranya:

- Tempat duduk yang selesa

- Tirai tingkap boleh dikawal dengan alat kawalan jauh

- Tandas luas dan terdapat sensor automatik

- Televisyen dinding di hujung kereta api

- Rak bagasi khusus di hujung gerabak kereta api

- Makanan ringan, makanan, minuman dan selimut percuma.

Tetapi paling menarik adalah apabila tempat duduk dalam tren ini juga boleh dipusing menghadap tingkap bagi memberikan peluang yang lebih untuk penumpang melihat hamparan alam sepanjang laluan.

LALUAN & JADUAL PERJALANAN 

Setakat ini, PT KAI hanya menggunakan gerabak kereta api jenis ini yang mempunyai 46 tempat duduk untuk laluan Jakarta-Yogyakarta (Pergi-Pulang) -- di mana gerabak kereta api itu dipasang pada perjalanan kereta api Tambahan Taksaka (Gambir-Yogyakarta ) hingga 8 Januari 2023.

Secara keseluruhan terdapat 2 unit gerabak kereta api panorama yang kini dimiliki oleh KAI, yang merupakan inovasi dari Balai Yasa KAI Surabaya Gubeng.

KAI tidak menolak penambahan kereta api panoramik ke pelbagai set kereta api lain.

Berikut adalah jadual perjalanan dari 24 Disember 2022 sehingga 8 Januari 2023

  • KA 7011C bertolak dari Yogyakarta pada pukul 21.40 dan tiba di Gambir pada pukul 05.33
  • KA 7012C bertolak dari Gambir pada 10.40 dan tiba di Yogyakarta pada 18.39
  • KA 7025B bertolak dari Yogyakarta pada pukul 12.00 dan tiba di Gambir pada pukul 19.30
  • KA 7026B bertolak dari Gambir pada 23.45 dan tiba di Yogyakarta pada 07.50

HARGA TIKET

Untuk merasai sensasi menaiki tren panoramik ini, anda perlu membelanjakan IDR 1 juta (RM284+) seorang jika membelinya melalui aplikasi KAI Access. Namun, KAI mengadakan promo diskaun tiket jadi harganya adalah IDR 750,000 (RM212+) dengan kuota terhad.

DIHENTIKAN SEMENTARA BERMULA 9 JAN 2023 BAGI PROSES PENAMBAHBAIKAN

Bermula hari ini (9 Januari 2023) -- kalau korang nak tahu kereta api panoramic ini dihentikan sementara bagi memberi peluang kepada pihak syarikat menjalankan beberapa proses evaluasi atau penambahbaikan yang diterima daripada penumpang yang telah berpeluang menaiki pengangkutan awam tersebut sepanjang tempoh pra-pelancaran bermula 24 Disember 2022 hingga 8 Januari 2023.

Sumber: Surgaroute

 

Destination: