Lepas Tamatkan Khidmat Brahim's, MAS Kini Benarkan Penumpang Bawa Makanan Sendiri

TRAVEL
September 05, 2023 - 04:37 PM


Penumpang Malaysia Airlines (MAS) kini diberi kebenaran untuk membawa makanan sendiri ketika menaiki pesawat daripada syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Menurut Malaysia Airlines Berhad (MAB) -- perkara tersebut tertakluk untuk laluan terjejas dalam tempoh peralihannya kepada penyedia perkhidmatan katering baharu.

Walaupun penumpang diberikan kelonggaran, perlu diingatkan bahawa makanan yang perlu dipanaskan sendiri dan makanan tidak halal adalah dilarang sama sekali.

Menerusi pautan Soalan Lazim di laman web https://www.malaysiaairlines.com -- pemilihan makanan dan minuman (F&B) sendiri ini tertakluk kepada syarat yang telah ditentukan.

Syaratnya ialah cecair, aerosol dan gel tidak boleh melebihi 100 mililiter (ml) bagi penumpang antarabangsa yang berlepas dari atau transit di lapangan terbang antarabangsa di Malaysia. 

Memetik laporan Bernama, kebenaran untuk membawa makanan sendiri ini diberi kerana pilihan pesanan makanan khas tidak tersedia buat sementara waktu.

“Bagi mereka yang memesan makanan khas, pilihan itu tidak tersedia buat masa ini. Oleh itu, kami membenarkan mereka untuk membawa makanan sendiri.

“Saranan ini hanya kepada laluan yang terjejas” kata syarikat penerbangan tempatan itu memetik laporan Bernama.

Walau bagaimanapun, pelanggan tidak perlu merasa khuatir dengan pengumuman ini kerana penumpang masih akan diberikan makanan atau minuman dalam penerbangan mereka.

Makanan yang dibungkus akan ditawarkan untuk penumpang laluan yang lebih pendek bergantung pada kelas perjalanan dan tempoh penerbangan.

Berbeza pula untuk pelanggan yang terlibat dalam penerbangan yang lebih lama, penumpang laluan ini akan diberikan pilihan makanan yang disemak semula.

Terdahulu, pada 30 Ogos, syarikat induk MAB iaitu Malaysia Aviation Group (MAG) berkata ia akan mengaktifkan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP).

Pelan ini hanya melibatkan perkhidmatan makanan dalam penerbangan di laluan terpilih di bawah MAB yang mula berkuat kuasa pada 1 September 2023.

Hal ini berikutan penamatan sambungan kontrak antara syarikat penerbangan itu dengan penyedia katering utamanya, Brahim’s Food Services (BFS) pada 31 Ogos 2023.