Selepas Air New Zealand, Korean Air Juga Bakal Laksana Timbang Berat Badan Penumpang

TRAVEL
August 29, 2023 - 01:56 PM


Penumpang yang menaiki pesawat syarikat penerbangan terbesar Korea Selatan dalam beberapa minggu akan datang, mungkin mendapati diri mereka akan diminta untuk ditimbang berat di lapangan terbang.

Independent melaporkan, Korean Air mengesahkan di laman webnya bahawa ia akan menimbang purata berat badan penumpang bersama dengan barang bawaan mereka untuk keselamatan penerbangan.

Ia susulan langkah serupa diumumkan oleh syarikat penerbangan Air New Zealand, Jun lalu.

Pelancong yang terbang dari dua lapangan terbang paling sibuk di Korea Selatan, kedua-duanya di ibu kota Seoul, akan diminta untuk memijak penimbang.

Sebagai percubaan, penumpang di laluan domestik dari Lapangan Terbang Gimpo mungkin akan ditimbang berat bermula dari 28 Ogos hingga 6 September.

Perkara sama untuk penumpang yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dari 8 hingga 19 September.

Korean Air mengesahkan bahawa jika penumpang memilih untuk tidak berkongsi berat badan mereka, mereka boleh memilih untuk menolak dengan memberitahu kakitangan lapangan terbang.

"Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea (MOLIT) sudah menasihatkan semua syarikat penerbangan Korea supaya menimbang penumpang dengan bagasi dibawa mereka untuk mengemas kini 'Piawaian Pengurusan Berat dan Imbangan Pesawat'.

"Ini penting untuk keselamatan operasi penerbangan. Korean Air mematuhi mandat ini dan tetap komited terhadap keselamatan iaitu keutamaan nombor satu," kata seorang jurucakap kepada Independent.

Prosedur itu digunakan untuk membantu menentukan pengagihan berat pada pesawat, dan pengiraan perlu dilakukan setiap lima tahun.

Sepanjang Jun, lebih 10,000 penumpang yang terbang dengan Air New Zealand ditimbang sebelum mereka menaiki penerbangan mereka.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif penting untuk memastikan operasi pesawat yang selamat dan cekap, menurut Air New Zealand, dan ia juga adalah keperluan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam negara itu.

Seperti yang dilaporkan Independent sebelum ini, menimbang setiap penumpang sebelum penerbangan boleh meningkatkan keselamatan dan mengurangkan bahaya persekitaran yang disebabkan oleh setiap penerbangan.

Pada masa ini, syarikat penerbangan menggunakan formula 'jisim diandaikan' iaitu menganggarkan jumlah berat penumpang dengan menggunakan angka yang ditetapkan.

Sumber: Harian Metro

Destination: