Mural 'Battle of Slim River' Tarikan Terbaru Lorong Seni Muallim, Tanjung Malim, Perak!

TRAVEL
February 07, 2023 - 12:17 PM


Ada pelbagai cara untuk anda menghayati kisah sejarah tanah air, selain pembelajaran di kelas dan 'membedah' buku hal ehwal sejarah.

Celik dan ambil tahu sejarah negara bukanlah satu beban, malah dituntut untuk memastikan generasi kini dan mendatang peka dan menghargai pengorbanan pejuang terdahulu.

Mural yang dilukis di Lorong Seni Muallim, Tanjung Malim, Perak sedikit sebanyak membuatkan orang ramai lebih peka -- sekali gus dapat mengetahui kisah ketika zaman perang secara santai pada waktu senggang.

Mural yang menggambarkan kisah 'Battle of Slim River' atau Pertempuran di Slim River sewaktu Perang Dunia Kedua itu merupakan sentuhan artis tempatan berbakat besar, Mohd Afiq Othman atau dikenali sebagai Bop Sopan.

Menurut Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkiflee, mural tersebut banyak mengetengahkan sejarah peperangan di Slim River iaitu di Trolak dan Slim Village.

"Mural itu turut disediakan dengan kod QR yang boleh diimbas oleh pengunjung bagi mendapatkan maklumat serta kisah lukisan tersebut.

"Kita dapat lihat sambutan daripada pengunjung begitu menggalakkan, termasuk peminat sejarah, pihak tentera yang membuat kajian dan pelancong asing," katanya. 

Inisiatif lorong seni itu juga tercetus rentetan bandar Tanjung Malim diisytiharkan sebagai bandar mesra belia.

Ketika ditanya mengenai penambahbaikan yang boleh dibuat untuk masa hadapan, Nor Hisham berharap supaya disediakan kemudahan maklumat yang lebih mudah untuk pengunjung.

"Tidak semua pengunjung tahu gunakan gajet atau teknologi, kebanyakan mural yang ada di kawasan tertentu menggunakan kod QR, tiada papan informasi.

"Mungkin bagi generasi muda atau belia tidak menjadi masalah (akses kod QR) tetapi lebih sesuai jika ada disediakan sekali papan informasi di situ bagi yang tiada gajet atau untuk warga emas," katanya lagi.

Bercerita lebih lanjut tentang 'Battle of Slim River', beliau memberitahu ia merupakan kisah penting bagi sejarah negara khususnya dan dunia amnya.

Katanya, kekalahan tentera British kepada Jepun di dalam pertempuran tersebut, mengakhiri harapan British dalam mempertahankan Tanah Melayu.

"Ia merupakan pertempuran yang berlaku pada 7 Januari 1942, yang mana lebih kurang 20 kereta kebal Jepun telah berjaya memusnahkan dua brigade tentera British yang bertahan di Trolak dan Slim River.

"Hanya dalam tempoh masa lima hingga enam sahaja, Jepun berjaya menawan kedua-dua jambatan di Trolak dan Slim River.

"Kira-kira 3,000 tentera British berjaya ditawan dan banyak senjata dirampas. Ia menjadi kenangan besar buat tentera Jepun ketika menyerang Tanah Melayu ketika itu," katanya.

Sumber: Astro Awani

Destination: