Pasport Malaysia Kembali Ke Tangga Ke-10 Paling Berkuasa Di Dunia

TRAVEL
February 20, 2024 - 06:16 PM


Malaysia turut tersenarai di tangga kesepuluh bersama Monaco dengan skor mobiliti 168. Melalui skor ini, pasport Malaysia merupakan pasport kelima terkuat di Asia dan kedua terkuat di rantau Asia Tenggara.

Pasport Malaysia kini menduduki tempat ke-10 paling berkuasa di dunia menerusi Senarai Kedudukan Kuasa Pasport Global 2024 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Senarai tersebut telah dikeluarkan oleh Passport Index dengan menilai skor mobiliti keseluruhan yang dimiliki setiap pasport di seluruh dunia.

Skor mobiliti pasport dinilai daripada jumlah negara yang membenarkan perjalanan tanpa visa, visa semasa ketibaan atau keperluan untuk memohon visa terlebih dahulu.

Menduduki di tangga pertama adalah pasport milik Emeriah Arab Bersatu (UAE) yang memiliki skor mobiliti teringgi iaitu 179. Difahamkan, pasport UAE telah mengekalkan kedudukannya walaupun kehilangan satu mata berbanding dengan tahun lepas.

Pasport ini membenarkan pemegangnya untuk mengembara ke 134 negara tanpa visa. Manakala, pemegang pasport UAE juga mendapat visa semasa ketibaan di 45 negara dan hanya perlu untuk memohon visa terlebih dahulu bagi 19 negara.

Selain itu, sebanyak lima buah pasport yang menduduki tangga kedua iaitu Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Sepanyol.

Pasport-pasport yang menduduki tangga ketiga juga rata-ratanya milik negara-negara Eropah. Antaranya Sweden, Finland, Luxembourg, Austria dan Switzerland.

Bukan itu sahaja, tangga keempat dalam senarai ini juga didominasi pasport daripada negara-negara Eropah seperti Beligium, Denmark, Portugal, Norway, Greek, Poland dan Ireland.

Singapura dan Korea Selatan telah memecah dominasi apabila menjadi negara Asia kedua yang memiliki pasport terkuat di dunia, selepas UAE. Pasport berkenaan telah menduduki tangga kelima bersama beberapa pasport negara lain seperti United Kingdom (UK), Republik Czech dan Hungary.

New Zealand telah menjadi pasport terkuat dalam benua Oceania dan menduduki tangga keenam dunia bersama Jepun, Estonia, Lithuania dan Slovakia.