Pengunjung Ingin Menginap Di Perak Akan Dikenakan Caj CPT RM3 Mulai 2025
TRAVELBermula 1 Januari 2025, pengunjung yang menginap di Perak akan dikenakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) sebanyak RM3.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, caj baharu tersebut dikenakan bagi setiap bilik penginapan berbayar untuk setiap malam.
Menurutnya, bayaran tersebut diperkenalkan di bawah Enakmen Hotel 2023 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tahun lalu.
"Caj seumpama ini telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan.
"Tarikh kuat kuasa pelaksanaan bayaran ini ditangguhkan ke 1 Januari 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini," katanya.
Sandrea berkata, bayaran yang dikenakan ke atas pengunjung itu merupakan inisiatif tambahan yang diharap membantu kerajaan negeri memperbaiki mutu perkhidmatan tempatan di tempat-tempat pelancongan di negeri ini.
Tambahnya lagi, penyeragaman Lesen Hotel di bawah Enakmen Hotel 2023 akan dilaksana mulai 1 Julai ini.
Penyeragaman itu melibatkan semua pengendali hotel, rumah tumpangan termasuk pengusaha rumah rehat, tapak perkhemahan, chalet, rumah bot, inap desa dan tempat bermalam atau penginapan lain yang mengenakan caj kepada pengunjung perlu mendapatkan lesen itu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Bagi memberikan tempoh mencukupi untuk sesi libat urus dan pendidikan kepada kumpulan sasar, kerajaan bersetuju memberikan tempoh pemutihan selama setahun sehingga 30 Jun 2025.
“Dalam tempoh ini, kita hanya beri nasihat kepada mereka dan tiada tindakan kompaun dikenakan ke atas pengusaha yang belum mendaftar dan memohon,” katanya.
Sandrea turut menggesa semua pengusaha premis penginapan untuk segera mengemukakan permohonan dan lesen daripada PBT di kawasan masing-masing.
Meskipun penguatkuasaan lesen tersebut ditangguh, peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam enakmen berkenaan tetap perlu dipatuhi.
Jelasnya lagi kadar bayaran lesen yang dikenakan mengikut kategori ditetapkan itu juga tidak membebankan pengusaha.
Sumber: Sinar Harian