Sebab Banyak Sangat Pelancong 'Buat Onar', Bali Keluar Panduan "Do's and Don'ts" Selit Kat Pasport!

TRAVEL
June 02, 2023 - 01:23 PM


Pihak berkuasa Bali telah mengeluarkan kad yang menggariskan perkara boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pelancong asing berikutan beberapa insiden warga asing tidak menghormati budaya dan undang-undang tempatan yang mencetuskan kemarahan penduduk.

Lapor Agensi Berita Jerman (dpa) -- pekeliling itu yang akan diedarkan kepada pelancong semasa ketibaan dan dilampirkan pada pasport mereka.

16 peraturan yang disenaraikan itu kesemuanya bertujuan bagi memelihara budaya, alam sekitar dan keselamatan Bali.

Pelancong yang melanggar peraturan boleh didakwa mengikut undang-undang Indonesia.

Bali pulau terkenal dengan kekayaan budaya dan pemandangan menakjubkan serta menarik berjuta-juta pelancong setiap tahun -- namun pandemik COVID-19 telah menjejaskan ekonomi dan sektor pelancongannya dengan teruk.

Pekeliling itu antara lain menggesa pelancong supaya :-

  • Menghormati budaya Bali dengan berpakaian sopan
  • Melindungi alam sekitar
  • Mematuhi peraturan jalan raya, penyalahgunaan dadah dan alkohol
  • Dilarang bekerja atau menjalankan perniagaan haram
  • Melarang pelancong daripada memasuki kawasan suci kuil melainkan mereka memakai pakaian tradisional Bali atau untuk beribadat, mencemarkan kuil, simbol agama atau objek suci, termasuk mengambil gambar bogel.

Tindakan itu dibuat selepas beberapa siri skandal yang melibatkan pelawat asing, seperti dua penulis blog Rusia yang berbogel di tapak suci dan seorang wanita Jerman menganggu upacara kuil dalam keadaan berbogel.

Penduduk Bali juga mengadu bahawa ramai warga asing mengabaikan peraturan lalu lintas dan bekerja dalam talian tanpa visa yang sah.

Sumber: BERNAMA

Destination: