Semarakkan Semangat Merdeka! - Bangunan Bersejarah Setiap Negeri Bangkitkan Semangat Patriotisme

TRAVEL
August 15, 2023 - 04:13 PM


Malaysia walaupun negaranya tidak sebesar negara lain di dalam peta dunia, kekayaan negeri ini dalam aspek yang lain tidak boleh dibilang dengan jari. Salah satunya adalah kewujudan tempat-tempat bersejarah untuk diteroka bagi yang ingin kembali ke masa lalu dan sekaligus menyemarakkan lagi rasa cinta kepada tanah air.

Bagi membuktikan jiwa patriotik ‘Anak Merdeka’ yang sentiasa membara dalam diri korang, apa kata gunakan kesempatan cuti umum yang panjang ini untuk melawat 13 tempat ikonik di setiap negeri yang begitu sinonim dengan erti kemerdekaan Malaysia.

Ini min senaraikan korang 13 tempat bersejarah dari setiap negeri yang cukup menarik untuk dilawati pada cuti Hari Kebangsaan nanti. Kalau tak sempat nak berjalan-jalan ke tempat ini, jangan risau cuti panjang sempena Hari Malaysia bulan September ni pun korang boleh sambung jalan-jalan.

1. Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur

Di depan Dataran Merdeka, terdapat sebuah struktur ikonik yang dibina pada tahun 1897 sebagai bangunan pentadbiran ketika era penjajahan British.

Bangunan Sultan Abdul Samad yang menerapkan konsep seni bina Moghul dan Moor ini mempunyai nilai sejarah yang sangat bernilai untuk dihayati oleh rakyat Malaysia terutama golongan muda.

Pada waktu malam, suasana di sekeliling bangunan ini juga sangat cantik dengan limpahan lampu neon berwarna-warni. Malah jika malam Merdeka di sini juga pernah menjadi lokasi masyarakat pelbagai kaum termasuk pelancong asing untuk melihat pertunjukan bunga api sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan.

2. Istana Bandar (Alaeddin), Selangor

Dibina pada penghujung abad ke-19 dan siap pada tahun 1905, Istana Bandar (Alaeddin) adalah sebuah peninggalan antik yang memiliki seni binaan yang unik. Sewaktu pembinaan istana, tukang-tukang Cina yang mahir turut terlibat dimana mereka menghasilkan ragam hiasan serta ukiran dengan pengaruh Cina sendiri. Secara keseluruhannya, istana ini memiliki pengaruh Islam dari Timur Tengah dan juga India.

Untuk pengetahuan korang, istana ini pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah dan permaisuri baginda sehingga baginda mangkat pada 1889. Bangunan ini kemudiannya menjadi tempat pertabalan Sultan Selangor ke-7.

Selepas kemerdekaan, iaitu pada tahun 1957, istana ini telah tidak digunakan lagi kerana pusat pemerintahan mula dipindahkan ke KL.

3. Muzium Negeri Kangar / Muzium Kota Kayang, Perlis

Rumah ini dahulunya diberikan Raja Syed Alwi kepada adik lelaki baginda Syed Salim yang menjadi ketua menteri kepada Raja. 

Sekitar kurun ke-19 dulu, Syed salim telah mendirikan rumahnya di atas tanah yang luas ini untuk didiami bersama keluarganya sebelum dijual kepada Kerajaan Negeri selepas Perjanjian Bangkok ditandatangani. 

Bangunan ini telah dijadikan kediaman rasmi Penasihat British yang pertama, Meadow Frost serta pewarisnya sehinggalah Perang Dunia Kedua (1941) yang memperlihatkan rumah ini diambil alih oleh tentera Jepun. Dari tahun 1943 ke 1945 pula ia digunakan oleh tentera Thai.

Setelah negara mencapai kemerdekaan, bangunan ini dijadikan sebagai kediaman rasmi Ketua Menteri Perlis. Sedihnya, bangunan asal di atas tanah ini dirobohkan pada tahun 1991 dan digantikan dengan replika bangunan yang sama yang berfungsi sebagai Muzium Negeri.

4. Rumah Kelahiran Tun Mahathir Mohamad, Kedah

Siapa yang tidak kenal dengan Bapa Pemodenan Malaysia, Tun Mahathir atau Tun M yang banyak berjasa ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

Alor Setar, Kedah adalah daerah di mana mantan Perdana Menteri tersebut dilahirkan iaitu pada 20 Disember, 1925.

Daripada seorang rakyat biasa yang dibesarkan di dalam rumah papan yang hanyalah berbumbungkan daun nipah, beliau telah membesar menjadi seorang doktor dan seterusnya sebagai pemimpin negara. Rumah yang mempunyai hanya satu bilik ini telah dipulihara oleh Arkib Negara pada tahun 1992.

5. Fort Cornwallis, Pulau Pinang

Kota Cornwallis merupakan kota lama berbentuk bintang empat bucu yang terletak di Georgetown. Ia dibina pada tahun 1786 dan dinamakan sempena Gabenor Jeneral India pada masa tersebut iaitu Charles Earl Cornwallis.

Ia dibina oleh Kapten Francis Light pada mulanya dengan menggunakan kayu nibong tanpa binaan kekal yang melitupi kawasan seluas 416 kaki persegi. Kota Cornwallis siap sepenuhnya pada tahun 1810 ; ia bertujuan bagi mempertahankan kepentingan British dari serangan Perancis.

Pada hari ini, kawasan ini hanya tinggal batu luar tetapi di dalam kubu masih terdapat beberapa struktur asal yang dibina lebih seabad yang lalu dan terdapat kira-kira 17 meriam gangsa lama, salah satu daripada meriam Belanda ini bernama Seri Rambai yang bertarikh 1603.

Tapak bersejarah yang diuruskan secara persendirian ini popular di kalangan pengunjung. Ia dilengkapi dengan kiosk informasi pelancong, sebuah kafe, dewan terbuka, galeri sejarah, pusat cenderamata serta jurupandu yang boleh membawa pelancong-pelancong melawati kawasan kubu sambil memberi penerangan tentang sejarahnya.

6. Masjid Ubudiah, Perak

Masjid Ubudiah ini dikatakan sebagai salah satu masjid yang terindah di Malaysia. Datang dulu ke sini, baru korang tahu betapa cantiknya masjid ini. Asalnya, masjid ini telah dibangunkan kerana nazar Sultan Idris Murshidul Adzam Shah 1, Sultan Perak ke-28 yang menjalankan pemerintahan dari 1887 ke 1916. 

Masjid yang didirikan di Bukit Chandan ini mula dibina pada tahun 1913 dengan kos sebanyak RM220,000 (pada ketika itu) dengan bantuan seorang arkitek, A.B. Hubback dan kerja pelaksanaan pula oleh ketua jurutera negeri Perak, Caufield.

Dapat dilihat masjid ini memiliki pengaruh seni bina Islam-India serta bentuk segi lapan yang unik.

7. Istana Lama Seri Menanti, Negeri Sembilan

Pernah tak korang terfikir, apa maksud 'Seri Menanti' tu sebenarnya? Kalau nak tahu, Seri Menanti adalah nama tiga batang padi yang tumbuh di kawasan sekitar yang dinamakan sebagai Padi Menanti ataupun 'semangat padi yang menanti'. Manakala 'seri' pula bermaksud padi dalam bahasa Jawa.

Istana Lama Seri Menanti merupakan sebuah istana 4 tingkat yang dibina untuk menggantikan Istana Pulih yang telah terbakar sewaktu Perang Bukit Putus. Istana ini telah direka oleh dua orang tukang iaitu Taib dan Kahar dengan arahan Yang di-Pertuan Besar yang mahu istana ini dibina dengan reka bentuk alam Minangkabau.

 Yang menariknya, istana indah ini telah dibina tanpa menggunakan walaupun satu batang paku besi! Macam mana tu? Untuk menyambung dari satu bahagian dengan bahagian yang lain, mereka menggunakan sambungan kayu yang dinamakan pasak.

8. The Stadthuys, Melaka

The Stadthuys antara tarikan di Melaka yang tak patut dilupa untuk singgah sebab dekat sinilah korang dapat bergambar dengan menarik bukan sahaja kerana reka bentuk dan warna bangunan ini, tapi juga disebabkan oleh barisan beca yang penuh warna-warni dan berbunga-bunga beratur panjang di luar bangunan.

Dibina pada tahun 1650, The Stadthuys pada asalnya adalah penempatan rasmi untuk Gabenor Belanda. Nak dijadikan cerita, sebenarnya ketika zaman Belanda bangunan ini berwarna putih, namun pada tahun 1911 iaitu sewaktu zaman penjajahan British, bangunan ini telah dicatkan dengan warna merah seperti yang dilihat sekarang.

9. Muzium Diraja Abu Bakar, Johor

Muzium ini terletak di dalam sebuah bangunan yang dahulunya Istana Besar Johor. Istana yang siap dibina pada tahun 1866 ini telah dibina dengan pengaruh reka bentuk Renaissance bawah seliaan arkitek Eropah.

Perabot-perabot yang terdapat di dalam istana ini telah ditempah oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dari England. 

Bangunan ini kemudiannya telah dibaik pulih untuk dijadikan muzium pada tahun 1982. Di dalam muzium ini anda dapat melihat pameran barangan yang diperbuat daripada perak, cenderahati dan barang-barang kemas. Di samping itu, turut dapat diihat adalah foto-foto keluarga Diraja sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar.

10. Masjid Putih, Terengganu

Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Besar dan Masjid Zainal Abidin; merupakan sebuah masjid yang dibina antara tahun 1783 ke 1808 oleh Sultan Zainal Abidin II. Masjid unk ini pada awal binaannya langsung tidak menggunakan tiang. Ketika zaman pemerintahan Sultan Umar, bangunan ini telah digantikan dengan batu bata. 

Kemudian ditambah dengan tiga buah kubah dengan tiga tiang bulat oleh Tengku Panglima Besar. Masjid ini telah mengalami banyak pengubahsuaian sehingga dapat memuatkan dalam 2,500 jemaah pada satu-satu masa.

11. Istana Jahar (Muzium Diraja Negeri Kelantan), Kelantan

Bangunan yang kelihatan sungguh menarik di pandangan mata dengan warna hitam dan kuning ini pada asalnya dibina oleh Sultan Mahmud II pada tahun 1887 untuk cucundanya yang bernama Long Kundur Bendahara. Pembinaannya disambung oleh Sultan Ahmad selepas Sultan Muhammad II mangkat.

pada tahun 1889, Long Kundur telah menjadi Sultan Muhammad III dan menjadikan Istana Jahar sebagai Balai Besar dan tempat bersemayam baginda dan sultan-sultan yang kemudian iaitu Sultan Muhammad IV dan Sultan Ismail. 

Bangunan ini sekarang digunakan sebagai Muzium Diraja Kelantan yang memaparkan artifak, senjata lama dan ruang yang digunakan oleh sultan-sultan terdahulu.

12. The Old Courthouse, Sarawak

The Old Courthouse merupakan sebuah bangunan bersejarah dibina pada tahun 1883 oleh Charles Brooke yang boleh ditemui di bandar Kuching. Pada asalnya ia digunakan sebagai pejabat kerajaan dan tempat majlis upacara negeri dijalankan.

Pada bahagian hadapan bangunan ini terdapat monumen Charles Brooke yang berketinggian enam meter. Monumen yang dibina dalam tahun 1924 ini terdapat panel dengan empat angka yang melambangkan kepelbagaian masyarakat di Sarawak iaitu Melayu, Kayan, Dayak dan Cina.

13. Agnes Keith House

Siapa sangka rumah kayu yang kelihatan begitu terpancar ciri tradisional tempatan ini sebenarnya merupakan milik keluarga mat saleh daripada Amerika, Agnes Keith. Kalau korang gemar membaca sastera lama, mungkin pernah dengar nama ini kerana Agnes Keith telah membukukan pengalamannya-pengalamannya sewaktu menetap di Sabah.

Rumahnya sebelum ini pernah menjadi kuarters kerajaan Inggeris yang dipanggil sebagai Newlands. Agnes dan keluarganya tinggal di sini sehingga tahun 1942 dan kembali lagi selepas Perang Dunia Ke-2.

Namun, sekembalinya ke sini, rumah ini dilihat telah musnah terbakar dek kerana perang. Oleh itu, mereka telah membina rumah ini sekali lagi dengan reka bentuk yang sama. Mereka tinggal di sini sehinggalah tahun 1952.

Bangunan ini dibaik pulih 50 tahun kemudian dan dibuka kepada orang awam mulai tahun 2004. Di dalamnya terdapat perabot-perabot dengan ciri-ciri kolonial dan barangan antik yang lain.

Ikutkan ada banyak lagi tempat ikonik bersejarah di setiap negeri, di Malaysia sebenarnya banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati dan ini adalah salah satu tarikan daripada negeri-negeri tersebut. Jangan pernah hilangkan rasa cinta kepada tanah air kita.

Membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata. SELAMAT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-66!

Destination: